
AADK menerusi kenyataan hari ini memaklumkan sesi lawatan khas secara bersemuka itu dibenarkan di negeri-negeri dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sahaja, manakala bagi negeri-negeri yang belum mencapai Fasa 4 PPN hanya pertemuan secara dalam talian dibenarkan.
“Kebenaran lawatan secara bersemuka itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN yang ditetapkan, termasuk hanya pelawat lengkap dua dos vaksin.
“Setiap keluarga atau penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak Puspen bagi mengelak kesesakan selain melancarkan perkhidmatan AADK, dan mengelak risiko penularan jangkitan wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.
Selain itu permohonan janji temu boleh dibuat menerusi panggilan telefon; khidmat pesanan ringkas; pesanan aplikasi WhatsApp; surat atau e-mel kepada Pegawai Pemulihan yang terlibat, menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan lawatan secara ‘jumpa terus’ bagaimanapun tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini.
“Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Puspen berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata sesi lawatan keluarga memberi ruang dan peluang kepada keluarga atau penjaga kepada penghuni di institusi berkenaan untuk bertemu mesra selain sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong pengekalan pemulihan mereka.