“Sayap” atau cape Superman yang pernah dipakai oleh pelakon lagenda Christopher Reeve dalam filem pertama adiwira itu berjaya dijual pada harga RM802,221 Isnin lalu.

Ianya telah dijual pada lelongan Julien di Los Angeles yang turut memperlihatkan lebih kurang 400 barang cinephile pada hari tersebut.
“Sayap” Superman itu sebenarnya mempunyai enam helai yang digunakan untuk tujuan pengambaran filem yang dikeluarkan pada tahun 1978.
Selain sayap Superman, beberapa kostum dari filem Star Trek juga dilelong pada acara itu.
Kostum tersebut termasuklah seragam yang dipakai oleh Patrick Stewart untuk peranannya sebagai Kapten Jean-Luc Picard, yang dijual pada harga RM119,670.76.
Superman merupakan watak fiksyen dan adiwira DC Comics yang julung kalinya muncul dalam Action Comics pada tahun 1938 dan dianggap sebagai salah seorang wira fiksyen yang terhebat di dunia.
Superman direka oleh Jerry Siegel dan Joe Shuster. Kisah Superman dirakam dalam bentuk komik, rancangan televisyen, filem dan permainan video.
Watak Superman dilahirkan di planet Krypton dan sebagai Kal-El dan dihantar ke bumi oleh ibu bapanya sebagai waris terakhir planet asalnya sebelum planet tersebut meletup dan menemui hari kiamatnya.
Roket yang mengangkut bayi bernama Kal-El itu mendarat di pekan Smallville, Amerika Syarikat dan ditemui oleh pasangan Jonathan dan Martha Kent.
Kal-El dinamakan semula oleh ibu bapa angkat tersayangnya sebagai Clark Kent.
Sewaktu membesar dan hidup bersama makhluk Bumi yang biasa, Clark menyedari bahawa dia mempunyai kuasa super yang terpendam selama ini.
Apabila dewasa, Clark bekerja sebagai seorang wartawan bagi akhbar Daily Planet di kota Metropolis dan diiringi Lois Lane.
Superman memiliki kuasa luar biasa dan terkenal dengan tagline “faster than a speeding bullet, more powerful than a locomotive, and able to leap tall buildings in a single bound” yang dihebahkan dalam drama radio pada dekad 1940-an.
Antara kebolehan istimewa Superman yang menjadi identitinya termasuk terbang di angkasa, kekuatan dan kekebalan perkasa, kelajuan yang amat pantas, kuasa matanya (sinar-X, penghasilan haba, infra-merah, teleskopik, mikroskopik).
Kelemahan paling utamanya ialah alahan kepada kryptonite, serpihan planet Krypton yang berubah menjadi bahan radioaktif oleh tenaga yang memusnahkan planet tersebut.
Pendedahan kepada bahan ini menyebabkan kuasa perkasa Superman terus pudar dan menimbulkan rasa sakit dalam badannya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]