Bersatu susun semula jawatankuasa bahagian, sayap parti

Bersatu susun semula jawatankuasa bahagian, sayap parti

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata proses itu susulan perletakan jawatan beberapa ketua dan ahli jawatankuasanya.

bersatu
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Bersatu mempunyai barisan pelapis dan ahli-ahli aktif yang bersedia memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuhkan parti.
PETALING JAYA:
Bersatu dalam proses menyusun semula bahagian dan sayap parti yang terlibat dalam perletakan jawatan beberapa ketua dan ahli jawatankuasanya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan untuk melaksanakan proses penyusunan semula bahagian dan sayap parti.

Katanya, pasukan petugas khas ini dipengerusikan bersama dua Naib Presiden Bersatu iaitu Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu manakala Setiausaha Agung Azmin Ali bertindak sebagai sekretariat.

“Penyusunan semula bahagian-bahagian ini melibatkan pemangkuan jawatan ketua bahagian atau pembentukan jawatankuasa bahagian yang baharu mengikut perlembagaan parti.

“Sayap-sayap parti yang terlibat dengan peletakan jawatan juga akan disusun semula melalui pemangkuan atau pembentukan jawatankuasa yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Bersatu mempunyai barisan pelapis dan ahli-ahli aktif di setiap bahagian yang bersedia memikul tanggungjawab besar untuk memperkukuhkan parti.

“Saya yakin ramai ahli Bersatu yang setia dengan perjuangan parti akan tampil ke hadapan untuk menggalas amanah ini,” katanya.

Muhyiddin juga berkata Bersatu juga terus komited dengan perjuangan Perikatan Nasional dan beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional esok yang akan memutuskan perlantikan pengerusi baharu gabungan itu.

Penyusunan semula itu susulan perletakan jawatan beberapa ketua bahagian dan ahli jawatankuasa sejak beberapa hari lalu bagi membantah pemecatan bekas naib presiden Hamzah Zainudin.

Hamzah yang juga ketua pembangkang dipecat bersama 16 lagi pemimpin Bersatu termasuk beberapa Ahli Parlimen ditengah-tengah krisis kepimpinan antara Muhyiddin dan timbalannya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.