Lelaki Cina bawa anak masuk kampung Melayu demi perpaduan

Lelaki Cina bawa anak masuk kampung Melayu demi perpaduan

Erti perpaduan dalam kalangan semua bangsa yang kian pudar kini cuba diterap kembali oleh Cheng Shian Chyr terhadap anaknya supaya menghargai bangsa lain yang ada di Malaysia.

Tidak mengenal perbezaan perkauman, hubungan kekeluargaan usahawan Cina utuh sehingga ke anak kecilnya yang dipangku ibu angkat di Pahang.

Untuk melihat mereka yang berbangsa Cina atau India membesar dalam keluarga Melayu semakin sukar ditemui.

Ini kerana perbezaan ideologi dan pemahaman tentang sesuatu bangsa itu menyebabkan berlakunya jurang di antara tiga bangsa utama di Malaysia.

Dan inilah hakikat yang harus diterima oleh semua. Bagaimanapun sedarkah kita ia merupakan satu nikmat kehidupan suatu ketika dulu dan agak sukar untuk generasi masa kini merasainya.

Mengimbas kembali kehidupan seorang lelaki berbangsa Cina berasal dari Karak, Cheng Shian Chyr merasakan cara kehidupannya yang berbeza dengan orang lain membuatkan dirinya kini sangat menghargai erti perpaduan yang memang diakuinya semakin pudar.

Hidangan mee kari Sri Karak kegemaran menteri Mohamed Azmin Ali.

“Dalam adik-beradik, saya dihantar pergi ke sekolah kebangsaan, dari darjah 1 sehingga tingkatan 5, semua kawan-kawan saya dulu semuanya Melayu, saya seorang Cina.

“Hubungan itu masih rapat sehingga sekarang. Dalam Kumpulan WhatsApp sekolah, saya seorang Cina dan yang lain semuanya Melayu. Tak ada masalah, Saya boleh duduk dengan mereka,” katanya kepada FMT.

Gambar Cheng bersama rakan Melayunya di Sekolah Menengah Sri Karak.

Katanya, perpaduan yang utuh di antara mereka sejak di bangku sekolah itu sekaligus menolak persepsi tentang perkauman seperti yang berlaku hari ini.

“Saya nak beri anak saya rasa apa yang saya rasai dulu. Walaupun saya sekarang bekerja di Kuala Lumpur, tapi setiap kali balik ke kampung, saya akan bawa anak saya masuk ke perkampungan Melayu itu. Semua seakan-akan menunggu kehadiran saya dan saya sendiri sangat teruja dan tidak sabar berjumpa mereka.

“Bila saya masuk kampung Melayu itu dengan bawa anak, mereka akan panggil ‘eh apek Cina lama tak jumpa!,” jelasnya sambil ketawa.

Zulkefli Yusof antara kawan baiknya dari Sekolah Rendah Kebangsaan Karak sehingga ke hari ini.

Pastinya jelas Cheng, menziarahi kawan-kawan Melayu dapat mengubati rindu memandangkan keadaan kini yang berbeza.

Katanya, memori lama tersebut pasti tidak boleh diulang kembali dan perasaan itu tidak sama dengan generasi kini apabila berkawan dengan bangsa lain.

“Saya sendiri tak sangka yang diri saya akan rapat sebegini dengan mereka, sampai kan bila ada yang meninggal, saya dan keluarga akan turut menziarahi kawan Melayu saya,” ujarnya lagi.

Cheng yang merupakan pemilik Restoran Sri Karak berkata kejayaan perniagaannya hari ini adalah kerana tunjuk ajar daripada ibu angkatnya yang juga merupakan seorang wanita Melayu.

Cheng bersama selebriti Khadijah Ibrahim.

“Keluarga saya memang ada restoran di Karak, tetapi itu semua menu untuk orang Cina, jadi bila saya belajar masak patin tempoyak, saya akan minta arwah ibu angkat saya rasa apa yang kurang dan apa yang perlu dibaiki.

“Jadi saya sendiri banyak belajar dari dia dan saya gunakan menu yang sama selama 16 tahun untuk saya membuka perniagaan ini,” ujarnya.

Cheng dan keluarga menghadiri majlis perkahwinan rakan Melayunya.

Antara hidangan yang mendapat sambutan di restoran Sri Karak adalah Mee Kari yang sangat diminati ramai termasuklah ahli politik, Mohamed Azmin Ali.

“Saya lebih banyak berhubung dengan orang Melayu termasuk selebriti dan ahli politik. Malah ramai di antara mereka yang memang pelanggan tetap saya,” ujarnya.

Jelas Cheng lagi, hubungan dia bersama rakan Melayu bukan sekadar kenalan kerana masih lagi akrab sehingga hari ini.

“Kalau raya puasa, saya akan bawa anak-anak dan keluarga saya untuk bersama dengan mereka. Saya nak beri anak-anak saya peluang merasai semangat muhibah ini dengan bangsa lain. Bukan hanya bercampur dalam bangsa sendiri sahaja. Begitu juga dengan mereka merasakan sambutan Tahun Baru Cina bersama dengan kita.

“Tidak mustahil jika generasi akan datang tidak dapat lagi merasai nilai perpaduan seperti saya dan kawan-kawan Cina lain merasainya suatu ketika dulu,” ujarnya dengan nada sedih mengakhiri perbualan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.