
Apabila pihak pendakwaan menunjukkan surat yang ditandatanganinya bagi pihak Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), Najib berkata salinan itu bukan versi asal.
“Saya berpegang dengan apa yang saya katakan dalam kenyataan saksi bahawa saya tidak dapat mengesahkan surat ini asli,” kata bekas perdana menteri itu kepada pendakwa ad hoc V Sithambaram, merujuk kepada surat bertarikh 23 April 2012.
Sithambaram kemudian mengingatkan Najib mengenai jawapannya di mahkamah minggu lepas semasa disoal Peguam Negara Tommy Thomas.
Surat itu menyatakan Najib, selaku perdana menteri, bersetuju dengan pindaan perlembagaan SRC International dengan menambah 2 peruntukan baru, yang membolehkan perdana menteri dilantik sebagai penasihat emeritus untuk menasihati lembaga pengarah mengenai isu-isu berkaitan kepentingan strategik Malaysia.
Najib kemudian memberitahu mahkamah dia teringat ada menandatangani surat tersebut.
Sithambaram: “Apabila peguam negara bertanya mengenai surat itu, anda juga melihat versi fotokopi.”
Najib menegaskan surat itu bukan versi asal.
Sithambaram: “Saya cadangkan pada Datuk Seri bahawa kes pendakwaan adalah pindaan-pindaan itu bertujuan untuk menguatkan cengkaman anda ke atas lembaga pengarah, setuju?”
Najib tidak bersetuju, dan berkata, “Anda mengatakan saya menguruskan SRC seolah-olah saya menguruskan syarikat saya sendiri.”
Beliau berkata pindaan itu untuk memastikan SRC International boleh bertindak untuk kepentingan kerajaan.
Perbicaraan diteruskan pada 6 Jan depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Mahkamah juga akan mendengar permohonan Najib pada 7 Jan untuk memanggil pakar tulisan tangan dan tandatangan untuk memeriksa kesahihan tandatangan pada dokumen kerajaan dan bank yang dikemukakan di mahkamah.
Minggu lepas, peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah pihak pembelaan akan membawa pakar dari Australia untuk menentukan kesahihan tulisan tangan dan tandatangan pada exhibit yang digunakan dalam perbicaraan.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada SRC International, bekas unit 1MDB.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).