Banjir di beberapa negeri semakin pulih

Banjir di beberapa negeri semakin pulih

Keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, serta beberapa kawasan di Pahang dan Sabah dijangka bertambah baik.

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri beransur pulih dengan jumlah mangsa semakin berkurangan, setakat petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, serta beberapa kawasan di Pahang dan Sabah dijangka bertambah baik.

Berikutan itu notis amaran cuaca buruk yang dikeluarkan pada 3.35 petang semalam ditamatkan.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 2,076 daripada 644 keluarga setakat 6.30 petang berbanding 4,065 (1,205 keluarga) pagi tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan 3 jajahan masih terkesan banjir manakala pusat pemindahan sementara (PPS) Kuala Krai dan Pasir Puteh ditutup.

Seramai 1,298 mangsa daripada 445 keluarga ditempatkan di 9 PPS Pasir Mas; 500 mangsa (121 keluarga) di 11 PPS Tanah Merah, dan 278 mangsa (78 keluarga) di 3 PPS Jeli.

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan hanya Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.48m (bahaya 9m).

Di Pahang, banjir turut dilapor semakin pulih dengan hanya 386 mangsa daripada 105 keluarga masih berada di 4 PPS di Rompin, Bera dan Temerloh.

Daripada jumlah itu, Temerloh mencatatkan 351 mangsa, Rompin (26 mangsa) dan Bera (9 mangsa).

Di Terengganu, 4 PPS yang beroperasi di 2 daerah iaitu Dungun dan Hulu Terengganu ditutup secara berperingkat, menurut Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Che Adam A Rahman.

Beliau berkata ketika ini hanya 1 PPS masih beroperasi di Dewan Orang Ramai Kampung Minda di Dungun yang menempatkan 38 mangsa (13 keluarga).

“Walaupun cuaca baik di seluruh Terengganu hari ini, mereka masih tidak dibenarkan pulang kerana rumah mereka masih digenangi air,” katanya.

Di Johor, jumlah mangsa banjir juga terus berkurangan kepada 1,314 orang daripada 327 keluarga setakat 6 petang tadi berbanding 2,669 orang daripada 716 keluarga yang direkodkan pada 8 pagi tadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon berkata semua mangsa masih ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 5 daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat dan Segamat.

“Banjir di daerah Mersing pulih sepenuhnya apabila 9 PPS di daerah itu ditutup hari ini berikutan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, 2 laluan di daerah Segamat meliputi Jalan Paya Balai Badang dan Jalan Putting serta 2 lagi di Mersing iaitu Jalan Telok Arong dan Jalan Tanah Abang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air.

Manakala, Jalan Tumang, Segamat hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.