Op Grid SPRM tumpu pulih semula aset negara

Op Grid SPRM tumpu pulih semula aset negara

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata pihaknya sedang buat kajian analisis kewangan terhadap semua syarikat terlibat dengan kerjasama BNM, LHDN, kastam.

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata pihaknya bukan sahaja fokus aspek rasuah dan salah guna kuasa untuk tujuan pertuduhan, malah turut menggunakan pendekatan pemulihan aset bagi kembalikan semula hasil negara.
KUALA NERUS:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses menjalankan siasatan bagi memulihkan semula hasil negara yang telah hilang menerusi Op Grip.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata siasatan dijalankan oleh Bahagian Penyiasat Operasi Khas serta Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) yang sedang membuat kajian analisis kewangan terhadap semua syarikat terlibat.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan susulan dilakukan kerana siasatan masih di peringkat awal dan ia memerlukan masa selepas operasi dilancarkan lebih kurang sebulan lalu.

“Ia bukan sahaja memberi fokus kepada aspek rasuah dan salah guna kuasa untuk tujuan pertuduhan tetapi turut menggunakan pendekatan recovery (pemulihan) aset atau harta bagi mengembalikan semula hasil negara yang hilang akibat ketirisan cukai dan perlindungan tertentu.

“Kita membawa pendekatan baharu dalam siasatan iaitu memastikan aset atau harta yang hilang akibat ketirisan dapat dikembalikan kepada kerajaan kerana mereka tidak membayar cukai dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Mengulas lanjut, Azam berkata ketirisan hasil negara berlaku dalam dua kategori iaitu kegagalan membuat kutipan hasil serta kehilangan akibat aktiviti haram bagi mengelak cukai dan hasil.

Beliau berkata, SPRM mengetuai pasukan petugas yang turut melibatkan pelbagai agensi lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan kastam bagi memastikan integriti penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan baik.

“SPRM juga sedang menjalankan ‘money trail’ syarikat terlibat melalui forensik perakaunan bagi mengenal pasti aset yang perlu dirampas semula.

“Ini satu perkara yang perlukan masa kerana kita perlu mendapatkan dokumen bank dan melaksanakan forensik perakaunan untuk meneliti akaun syarikat terlibat. Keduanya, penjenayah ini perlu ‘dibankrapkan’ dan mereka ini tidak perlu lagi berada dalam persada perniagaan,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah wang telah dikembalikan setakat ini, Azam berkata belum ada pemulangan dana dilakukan kerana siasatan masih tertumpu kepada semakan akaun lama dan proses pengiraan oleh agensi terlibat.

“Perolehan atau pengembalian aset ini bukan hanya dijalankan SPRM tetapi kita perlu bekerjasama dengan pihak seperti LHDN dan kastam. Mana yang lari cukai, kena bayar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.