
Pemain berusia 36 tahun itu memberikan peluang keemasan kepada 2 pemain junior untuk mengasah bakat dan bekerja keras dalam perlawanan mereka menentang juara dunia 8 kali, pada acara pertunjukkan 2 hari “The Dream Remains” yang bermula esok.
Seorang pemain lelaki muda dan seorang wanita yang akan diumumkan sewaktu perlawanan itu, akan berpeluang sekali seumur hidup mereka, untuk menentang Nicol di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, satu program dirancangkan Nicol dengan sokongan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).
Bercakap pada sidang media, Nicol berkata, perlawanan pertunjukkan serta klinik skuasy kepada 133 pemain junior untuk 2 hari itu, merupakan sebahagian daripada sumbangan beliau kepada peminat beliau dan juga sukan, selepas mengumumkan persaraan awal tahun ini.
“Berehat untuk seketika selepas bersara, berikan saya masa berehat dan keinginan untuk bermain semula, jadi sekarang ini bermain bersama junior. Saya bermain bersama sebahagian daripada mereka dan cuba untuk mengikuti rentak mereka, jadi harapannya perlawanan itu nanti akan berikan satu lonjakan yang baik untuk mereka,” katanya.
Acara utama program itu perlawanan pertunjukkan antara 4 pemain profesional terbaik daripada Persatuan Skuasy Profesional (PSA), iaitu pemain nombor 1 dan nombor 24 dunia, Low Wee Wern, pemain nombor 8 dunia Sarah-Jane Perry dari England, Tinne Gilis dari Belgium (22) dan Hollie Naughton dari Kanada (29).
Pada perlawanan separuh akhir esok, Wee Wern akan bertemu Hollie dan Sarah-Jane menentang Tinne, manakala perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4, serta final dijadualkan pada Jumaat.
Program 2 hari itu terbuka kepada semua orang, masuk adalah percuma, manakala penonton berpeluang mengambil bahagian dalam beberapa acara sampingan, termasuklah memandu uji kereta baru Mercedes-Benz.
“Selepas saya bersara, impian saya masih sama, antaranya ialah untuk mengadakan satu acara bertaraf dunia di Malaysia bagi menjadi satu hub skuasy masa depan dan membawa semula pemain professional terbaik ke Malaysia. Mahu melihat pemain skuasy terbaik bermain di sini dan mendapatkan sokongan daripada peminat untuk menjadi inspirasi kepada pemain muda.
“Jadi saya fikirkan kenapa tidak kita mulakan dengan perlawanan pertunjukkan, bawa 3 permain terbaik wanita dunia dan pemain terbaik Malaysia, berikan perlawanan skuasy pada tahap tertinggi. Bermula kecil-kecilan dan kemudiannya membawa penonton lebih ramai…saya berharap seluruh rakyat Malaysia akan datang dan berikan sokongan kepada kami dan jika responnya baik, saya berharap untuk anjurkannya setiap tahun dan bertaraf dunia,” kata juara Asia 9 kali itu.
Pemain berasal dari Pulau Pinang yang memenangi 81 gelaran PSA dan pernah memegang rekod pemain nombor 1 dunia selama 109 bulan berturut-turut dari 2006 hingga 2015, bermain buat kali terakhir di Terbuka British pada Mei tahun ini, selepas menikmati karier cemerlang dalam skuasy selama 20 tahun.
“Saya amat bertuah untuk menjadi sebahagian daripada acara hebat ini, kita tidak ada kejohanan besar di sini di Malaysia, jadi saya berharap acara ini akan bawa lebih publisiti untuk skuasy dan akan mengembalikan Terbuka Malaysia dalam kalendar semula,” kata Wee Wern.