Skuasy: Malaysia sapu bersih gelaran juara berpasukan Asia

Skuasy: Malaysia sapu bersih gelaran juara berpasukan Asia

Pasukan wanita merampas kejuaraan dengan menumbangkan juara bertahan, manakala skuad lelaki juga berjaya ketepikan Hong Kong.

Ratu skuasy, N Sivasangari, memulakan rentak kemenangann Malaysia pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2024. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mendominasi perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2024 dengan menyapu bersih kedua-dua gelaran berpasukan lelaki dan wanita di Dalian, wilayah Liaoning, China.

Pasukan wanita berjaya merampas kembali kejuaraan dengan menumbangkan juara bertahan Hong Kong 2-0.

Ratu skuasy wanita negara, N Sivasangari, memulakan rentak kemenangan dengan menyumbang mata pertama apabila mengatasi Ho Tze Lok, dalam pertarungan lima set.

Pemain nombor 10 dunia dan juara Sukan Asia Hangzhou 2022, Sivasangari mencatatkan kebangkitan menakjubkan selepas ketinggalan set pertama untuk menang 3-2 (10-12, 13-11, 11-6, 10-12, 11-8).

Perseorangan kedua negara, Rachel Arnold, meneruskan momentum kemenangan untuk mengesahkan kemenangan mutlak apabila mengecewakan Tong Tsz Wing 3-0 (11-6, 11-5, 11-8).

Kemenangan yang memberangsangkan ini mengesahkan dendam Malaysia terhadap Hong Kong yang memusnahkan harapan untuk gelaran berturut-turut pada final 2022.

Jurulatih kebangsaan, Shahril Shahidan, memuji ketabahan Sivasangari dan menyerlahkan fokus dan ketenangan Rachel pada perlawanan akhir.

“Sivasangari mencipta kebangkitan yang baik… ia adalah perlawanan naik-turun untuknya hari ini, terutama apabila memperagakan aksi santai. Pada set terakhir, dia ketinggalan 7-2 tetapi selepas itu dia bermain dengan sangat baik.

“Rachel menampilkan aksi terbaik dan memberi tumpuan selepas mendahului 1-0. Kami tidak menjangka Tong tidak bermain dengan baik kerana mungkin tertekan untuk menang,” katanya.

Sementara itu, skuad lelaki mencetuskan keterujaan dengan mengetepikan Hong Kong 2-1.

Pemain nombor satu negara, Ng Eain Yow, memulakan perlawanan akhir dengan cemerlang apabila menewaskan Lau Tsz Kwan 3-0 (11-7, 11-8, 11-8); tetapi kedudukan kemudian terikat 1-1 selepas Addeen Idrakie tewas kepada Henry Leung 1-3 (11-4, 7-11, 2-11, 7-11).

Bagaimanapun, pemain nombor 130 dunia, Ameeshenraj Chandaran muncul wira apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain nombor 88 dunia, Tang Ming Hong 3-1 (8-11, 11-8, 11-6, 11-4).

Ia merupakan gelaran kedua yang diraih skuad lelaki negara dalam tiga edisi terakhir selepas muncul juara pada 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.