
Kejayaan diraih Eain Yow di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou membolehkan juara Asia itu membalas dendam ke atas Ghosal yang sebelum ini menewaskannya 3-1 pada separuh akhir acara berpasukan lelaki.
Pada aksi itu, Ghosal yang menghuni kedudukan ke-19 terlebih dahulu membuka aksi menerusi kemenangan 11-9 ke atas Eain Yow sebelum dibalas pemain negara dengan keputusan sama pada set kedua.
Terikat 1-1, Eain Yow mendapat kelebihan apabila menang mudah pada set ketiga 11-5 dan kemenangan itu jelas menyuntik semangat pemain ke-18 dunia tersebut untuk memasuki set keempat.
Pingat emas sah menjadi milik Malaysia selepas Eain Yow menoktahkan kemenangan pada set penentuan dengan kemenangan 11-7 dalam tempoh 70 minit, menurut Harian Metro.
Ini pingat emas ketiga daripada sukan skuasy selepas mereka menuai emas dalam acara berpasukan wanita dan perseorangan wanita menerusi S Sivasangari sebelum ini.