NGO saman Maszlee, kerajaan, mohon isytihar sekolah vernakular bercanggah perlembagaan

NGO saman Maszlee, kerajaan, mohon isytihar sekolah vernakular bercanggah perlembagaan

Pada 11 Nov, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, untuk mencabar keabsahan kewujudan sekolah vernakular di Malaysia.

GPMS dan MAPPIM memohon perisytiharan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah bercanggah dengan perlembagaan persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah dengan kedudukan bahasa kebangsaan di bawah Fasal 152 (1) perlembagaan persekutuan.

Writ saman dan penyata tuntutan itu difailkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) yang berkata, saman itu menamakan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam mereka, iaitu Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil, ia berkata, peguam kanan Hanif Khatri Abdulla akan menjadi peguam utama mewakili MAPPIM dan GPMS dalam perbicaraan di mahkamah.

“Pemfailan saman ini adalah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 11 Nov lalu yang menolak permohonan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, untuk mencabar keabsahan kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di Malaysia.

“Ini kerana menurut Mahkamah Persekutuan, permohonan tersebut sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi, bukan di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, GPMS dan MAPPIM berkata, susulan keputusan itu, mereka mahu persoalan penting tentang keabsahan kewujudan sekolah vernakular di sisi perlembagaan persekutuan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Katanya, GPMS dan MAPPIM memohon pengisytiharan berhubung Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan setakat mana peruntukan-itu membenarkan penubuhan sekolah vernakular yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa utamanya dan sama ada masing-masing bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan dan sama ada ia tidak sah dan terbatal kerana percanggahan itu.

GPMS dan MAPPIM juga memohon pengisytiharan sama ada kewujudan sekolah vernakular secara berikutnya membawa kepada percanggahan dengan Perkara 5 (hak kehidupan bermaruah), Perkara 8 (hak kesamarataan. Perkara 10 (hak kebebasan bersuara) Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak mendapat pendidikan).

Ia berkata, mereka diarahkan oleh GPMS dan MAPPIM bahawa mereka menyokong semua bahasa ketiga seperti Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan atau mana-mana bahasa lain, termasuk bahasa Jepun dan Korea melalui pengajarannya sebagai satu subjek, tetapi menolak ia dijadikan bahasa utama di institusi pendidikan awam yang menerima dana awam.

“Ini kerana hal tersebut bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.