Polis terima 5 laporan berkait kenyataan Umany

Polis terima 5 laporan berkait kenyataan Umany

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata kenyataan itu cetuskan ketidakpuasan hati masyarakat dan kegentaran awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menerima lima laporan berhubung kenyataan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) menggesa program matrikulasi sebagai laluan kemasukan ke universiti awam dimansuhkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata laporan pertama diterima 12 Sept lalu dan disusuli empat lagi laporan dibuat pihak tidak berpuas hati dengan kenyataan itu.

“Kenyataan tersebut dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.

“Kenyataan berkenaan didapati boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat dan kegentaran awam,” katanya dalam kenyataan.

Kata Kumar, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Menurutnya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Polis tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan akan menjalankan siasatan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam dan media sosial,” katanya.

Semalam, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dilaporkan membuat beberapa laporan polis di seluruh negara terhadap Umany berhubung kenyataannya mengenai program matrikulasi dan menggesa ia disiasat atas dakwaan hasutan, antara lain.

Umany mencetuskan kontroversi minggu lalu selepas mencadangkan sistem matrikulasi digantikan STPM sebagai satu-satunya standard kemasukan ke universiti awam.

Presidennya, Tang Yi Ze dilaporkan berkata, silibus STPM lebih baik kerana lebih mencabar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Umany pada Sabtu menjelaskan pihaknya tidak berniat menggesa pemansuhan program matrikulasi, sebaliknya mencadangkan penggabungan program itu dengan STPM sebagai kelayakan kemasukan universiti.

Umany turut mengakui penggunaan perkataan ‘mansuh’ dalam kenyataan pada Jumaat lalu menimbulkan kekeliruan dan menyinggung pihak tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.