Kes 2 tertuduh berkait LTTE dipindah ke Mahkamah Tinggi

Kes 2 tertuduh berkait LTTE dipindah ke Mahkamah Tinggi

Tetapi, Mahkamah Sesyen Selayang menolak permohonan ikat jamin A Kalaimughilan selepas mendengar hujahan peguamnya Yoges M Verasuntharam dan pihak pendakwaan.

A Kalaimughilan (kiri) dan S Chandru didakwa memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas LTTE pada Oktober lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua kes membabitkan seorang ketua pegawai perbadanan dan pengutip besi buruk didakwa memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Maziah Joary Mohd Tajudin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui memohon memindahkan kes A Kalaimughilan, 28, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Tetapi, mahkamah menolak permohonan ikat jamin Kalaimughilan selepas mendengar hujahan peguamnya Yoges M Verasuntharam dan pihak pendakwaan.

Yoges memohon jaminan itu atas alasan mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.

“Anak guam saya adalah penanggung tunggal keluarga serta menjaga bapa dan adik perempuannya yang juga orang kelainan upaya.”

Beliau berkata, anak guamnya pernah terbabit dalam kemalangan dan kini mengalami masalah sakit tulang belakang serta migrain yang memerlukan rawatan di Klinik Sungai Buloh.

Bagaimanapun, Low membantah permohonan ikat jamin itu dengan alasan hanya Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa menentukannya.

“Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan isu jaminan bagi kesalahan keselamatan.”

Pada 29 Okt lalu, Kalaimughilan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang atas 2 pertuduhan memiliki bahan berkaitan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan sebuah kereta di tempat sama pada 9.30 pagi hingga 12.35 tengah hari 10 Okt lalu.

Semua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana bahan itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah di Melaka, Ahmad Sazali Omar membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin memindahkan kes S Chandru ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.

Izhanudin berkata, seksyen itu memperuntukkan semua kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Melvin Tay yang mewakili Chandru, 38, pada prosiding sebutan semula kes itu membantah permohonan pihak pendakwaan dan meminta mahkamah membenarkan kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi Melaka kerana tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka.

Mahkamah kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 29 Okt lepas, Chandru didakwa memiliki bahan berkaitan LTTE dalam sebuah telefon bimbit di No 15, Lot 1802, Kampung Bukit Balai di sini pada 10.20 pagi 12 Okt lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.