Kanak-kanak cari karakter hero tempatan, kata penerbit filem animasi

Kanak-kanak cari karakter hero tempatan, kata penerbit filem animasi

Perkembangan filem animasi negara turut mendapat pujian Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya setanding dengan kualiti antarabangsa.

Kanak-kanak di Malaysia sangat menantikan karakter hero tempatan berbanding mereka yang membesar dengan karakter anime sebelum ini. (Gambar Instagram Ejen Ali)
KUALA LUMPUR:
Kanak-kanak di negara ini mula mencari-cari karakter hero dalam filem animasi tempatan sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurut penerbit filem animasi Ejen Ali, Wau Animation, perkembangan itu membolehkan karakter yang dipamerkan dalam animasi tempatan menjadi inspirasi kepada kanak-kanak.

Ketua pegawai penjenamaannya, Fuad Md Din berkata, pihaknya turut berbangga apabila mendapat reaksi positif daripada kalangan ibu bapa dan guru-guru terhadap filem tersebut.

“Kami dimaklumkan oleh guru-guru dan ibu bapa bahawa kanak-kanak hari ini sangat menantikan karakter hero tempatan, hero kita sendiri berbanding kita dulu yang membesar dengan karakter anime.

“Karakter tempatan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk menjadi lebih baik. Apabila guru dan ibu bapa cakap begitu, ia memang membanggakan,” katanya kepada FMT ketika ditemui pada tayangan filem Ejen Ali The Movie.

Ketua Pegawai Penjenamaan Wau Animation, Fuad Md Din.

Filem tersebut merupakan buah tangan terbaru Wau Animation selepas 2 siri animasi Ejen Ali yang disiarkan di TV sejak 2016.

Malah filem tersebut mendapat pujian Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya setanding dengan kualiti antarabangsa.

Mengulas isu kemajuan kualiti produk animasi di negara ini, Fuad mengakui ia semakin berkembang seiring peredaran teknologi masa kini.

“Kalau tengok kualiti animasi dikeluarkan sekarang memang ‘dahsyat’. Industri kita bermula dengan Hikayat Sang Kancil dan sebagainya.

“Kalau tengok dari Hikayat Sang Kancil sampai sekarang perubahan teknologi yang kita guna sampai pendekatan cerita yang digunakan memang banyak berubah,” katanya yang mula menceburi bidang animasi pada 2006.

Meskipun penerimaan masyarakat hari ini semakin menggalakkan, namun katanya pengeluar filem animasi masih memerlukan pendedahan dari segi kandungan untuk meraih kutipan seperti filem antabangsa.

Difahamkan Ejen Ali The Movie mencatatkan kutipan RM13 juta pada minggu pertama tayangan bermula 28 November lalu.

Pada April, filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengutip RM25 juta dengan 2 juta penonton menjadikan filem tersebut meraih kutipan tertinggi di pawagam tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.