
Penganalisis kanan di Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS) Thomas Benjamin Daniel berkata, ia tidak akan menyebabkan Malaysia bertembung dengan Beijing.
Minggu lepas, Malaysia mengharamkan filem animasi Abominable selepas penerbitnya enggan mematuhi arahan memotong babak memaparkan peta negara China yang turut termasuk kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah juga bercakap tentang keperluan Malaysia meningkatkan kemampuan tentera lautnya sekiranya berlaku konflik di wilayah yang kini menyaksikan lebih banyak kegiatan ketenteraan itu.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri pula mengeluarkan perintah mengharamkan buku komik bertajuk “Inisiatif Laluan dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”.
Ia berkata, komik tersebut mempromosi ideologi sosialis dan komunis yang menjadi pegangan Beijing.
Daniel berkata, garisan sempadan laut yang dipertikaian di lautan tersebut tidak mempunyai asas dari segi undang-undang walaupun China menegaskan sebaliknya, atau penggunaan garisan itu dalam banyak buku, peta dan pasport kanak-kanak.
“Beijing juga kelihatan memperluaskan pengaruhnya ke atas penentuan peta negara itu oleh pihak asing yang berusaha memasuki pasarannya, dan dalam kes tertentu, ke atas peta di luar China juga,” katanya.
Beliau berkata, walaupun syarikat asing kini mula mengikut nada tersebut kerana kepentingan kewangan, Malaysia dan negara lain yang menuntut kawasan sama bertindak betul dengan menolak gambaran palsu Beijing mengenai garisan sempadan di situ.
Daniel berkata, pengharaman buku komik tersebut tidak berkemungkinan menjejaskan hubungan dua negara kerana ia merupakan isu domestik, bukannya hubungan dua hala.
Katanya, kenyataan Saifuddin berhubung keperluan meningkatkan kemampuan tentera laut Malaysia juga tidak bersifat konfrontasi kerana realiti menghendaki Malaysia menyokong amalan diplomatiknya dengan kehadiran kekuatan laut yang setimpal.
“Dari segi politik, China pandai bermain muslihat dengan menjarakkan diri daripada apa-apa juga yang berlaku di sini.
“Justeru ketegangan sebenar akan lahir daripada isu Laut China Selatan, tetapi itu pun hanya jika China meningkatkan kehadirannya di situ, bukannya akibat perkembangkan politik yang berlaku di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa orang ahli akademik lain juga berpendapat perkembangan terbaru tidak akan merosakkan hubungan Malaysia-China.
Ngeow Chow Bin dari Universiti Malaya berkata, Putrajaya masih bersikap berhati-hati dalam menangani isu Laut China Selatan bagi menghindari masalah dalam hubungan dua hala, walaupun pada masa sama turut memberi isyarat bahawa ia komited dalam mempertahankan kepentingannya.
“Berhubung peningkatan kekuatan tentera laut, ia memang satu merupakan keperluan. Terdapat juga banyak bot nelayan haram Vietnam, jadi penambahan kekuatan tidaklah berkait China sepenuhnya,” kata beliau.
William Case, ketua Sekolah Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangasa Universiti Nottingham Malaysia berkata, kenyataan bahawa Malaysia memerlukan pelaburan dari China menjadikan pertembungan dengan negara itu tidak akan berlaku.
“Tetap memang ada ketegangan, malah kontradiksi dalam hubungan itu yang akan menimbulkan ketegangan sekali-sekala. Ia juga boleh diburukkan oleh dasar tidak konsisten yang diperlihatkan oleh pemimpin kerajaan sekarang yang tidak berpengalaman,” kata beliau.
Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun juga menolak kemungkinan berlakunya pertembungan atau kesan ke atas hubungan dua hala Malaysia-China, terutama dari segi ekonomi.