
Persatuan Animasi Malaysia berkata rekod tayangan pawagam sejak Covid-19 menunjukkan hanya satu filem animasi dihasilkan setiap tahun, walaupun potensi genre itu sangat besar dan semakin berkembang di Malaysia berbanding negara Asean lain.
Presiden Animasi Zahrin Zamzuri berkata Malaysia sewajarnya menghasilkan lima atau enam filem animasi setahun berikutan sambutan amat menggalakkan mengambil contoh kejayaan filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) baru-baru ini meraih kutipan RM60 juta.
“Sewajarnya, Malaysia memerlukan lima atau enam filem animasi setahun memandangkan sambutan sangat tinggi di kalangan penonton di samping membuka potensi besar dalam kitaran ekonomi negara termasuklah potensi eksport,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata situasi produksi ketika ini mempunyai jurang masa sangat jauh dan merugikan ekonomi sebagai contoh, filem EATM1 (2019) mempunyai jurang selama enam tahun dengan EATM2 (2025).
“Jurang masa yang sebegitu lama tidak wajar dibazirkan dan sepatutnya dimanafaatkan dengan mengisi banyak filem animasi tempatan yang lain.
“Justeru, persatuan ingin menggesa kerajaan memperbanyakkan lagi insentif terhadap industri animasi supaya lebih banyak animasi sehebat EATM dapat dihasilkan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada ramai generasi muda berbakat,” katanya.
Untuk rekod, filem animasi yang ditayangkan di pawagam pasca Covid-19 adalah Mechamato (2022), Didi & Friends (2023), Dongeng Sang Kancil, EATM2 (2025).
Pada Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM160 juta untuk pembangunan industri kreatif.
Ia termasuk program Belia Kreatif Madani berjumlah RM30 juta bagi pelbagai aktiviti seperti bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek.
Sementara Dana Kandungan Digital dinaikkan kepada RM65 juta berbanding RM60 pada belanjawan sebelumnya, manakala RM40 juta di bawah Insentif Filem Malaysia (FIMI) bagi menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia.