
Filem box office dan animasi #1 Malaysia yang berjaya meraih kutipan melebihi RM30juta Ejen Ali The Movie, hasil usahasama Primeworks Studios dan WAU Animation ini mendapat penghormatan menerusi kategori Arahan Terbaik (Fiksyen) untuk pengarah, Usamah Zaid Yasin. Ini merupakan tahun kedua untuk Ejen Ali di Asian Academy Creative Awards, selepas kemenangan siri TV pada tahun 2018 bagi kategori Program Animasi 3D Terbaik atau kategori Siri (Malaysia).

Manakala, Alif & Sofia pula mengungguli kategori Program Prasekolah Terbaik. Siri animasi 3D yang diterbitkan untuk platform YouTube, dihasilkan bersama antara Primeworks Studios dan Blindspot Studios ini menampilkan pengembaraan dua adik-beradik yang aktif, bertanggungjawap dan mereka menerokai dunia kanak-kanak melalui proses pembelajaran yang menyeronokkan iaitu belajar menerusi cerita, muzik, lagu, tarian dan permainan imaginatif yang diilhamkan dari pembelajaran kehidupan Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata, “Ini adalah pencapaian yang luar biasa bagi kami, ditambah lagi dengan peluang mewakili Malaysia untuk bersaing di Asian Academy Creative Awards dan disenaraikan antara kandungan terbaik dari seluruh Asia adalah satu pencapaian tinggi bagi kami di dalam tahun yang mencabar ini lebih-lebih lagi dengan apa yang yang berlaku sekarang ini akibat dari wabak COVID-19, ianya sangat terkesan kepada industri media.
Asian Academy Creative Awards (AAA) adalah anugerah tahunan berprestij yang meraikan karya-karya dari Australia & New Zealand, Kemboja, China, Hong Kong SAR, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Anugerah ini adalah untuk meraikan usaha industri kreatif dalam penerbitan kandungan dan produksi. Acara kemuncak AAA 2020 dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 Disember 2020.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]