Kenapa Dasar Automotif Nasional masih tergendala sehingga kini?

Kenapa Dasar Automotif Nasional masih tergendala sehingga kini?

Pasaran automotif negara bukan sahaja jauh ketinggalan dari Thailand dan Indonesia, malah Vietnam juga akan mendahului Malaysia dalam masa beberapa tahun atau lebih cepat daripada yang dijangkakan.

Berdasarkan kemaskini terakhir mengenai Dasar Automotif Nasional (NAP) mengatakan ia akan diumumkan hari ini.

Bagi kebanyakan yang membaca, NAP mungkin tidak penting kepada anda, tetapi jika anda adalah syarikat yang terlibat dengan automotif di Malaysia dan bekerja di sistem eko automotif, NAP mungkin merupakan polisi paling penting yang anda nanti-nantikan tahun demi tahun.

Dasar ini mampu menjejaskan landskap automotif dalam pelbagai cara jika anda dapat memahami apa yang dibaca.

Pekerjaan terjejas sekiranya dasar itu tidak difikirkan dengan betul

Beberapa tahun lalu, Malaysia adalah peneraju utama dasar automotif di ASEAN.

Bagaimanapun baru-baru ini Malaysia telah jatuh ke tangga ketiga (Thailand pertama dan Indonesia sekarang kedua) dan kemungkinan besar tahun depan, Vietnam pula akan berada di hadapan kita.

Semua ini secara tidak langsung akan memberi kesan dan impak yang besar kepada sektor pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan sekaligus menyebabkan kehilangan pelaburan langsung asing dan kerugian besar kepada pertumbuhan industri automotif negara.

Bagaimanakah jenama kereta akan berkembang?

NAP 2019 yang sepatutnya dibentangkan kepada komuniti automotif Malaysia pada akhir 2018 bagi membolehkan semua jenama kereta merancang pelancaran serta harga kereta mereka pada 2019 telah ditangguhkan beberapa kali oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Kementerian Kewangan.

Malah pada tahun sebelum ini, Institut Automotif Malaysia (MAI) telah menjadi penasihat utama kepada bekas menteri Miti dan pasukannya.

Bagaimanapun, MAI, yang baru-baru ini dijenamakan semula sebagai Marii (Institut Otomotif, Robotik & IoT Malaysia) memilih untuk bekerja dengan rakan mereka sendiri dalam menganjurkan pameran kereta di Semenanjung Malaysia yang disifatkan tidak berjaya.

Malah baru-baru ini di Penampang, Sabah (semata-mata untuk membuatkan menteri gembira kerana ia kawasan Parlimennya) satu pameran diadakan dari 19-20 Okt, beberapa jenama kereta “dipaksa” untuk menyertainya meskipun harga sewa tapak dikenakan agak mahal.

Bagaimanapun beberapa peserta jenama kereta yang menyertai pameran itu meluahkan rasa tidak puas hati dengan sambutan yang diberikan.

Manakan tidak apabila kurang daripada 2,000 pengunjung yang hadir dan disebalik kos besar yang terpaksa mereka tanggung.

Dan disebabkan beberapa kegagalan ini, Miti dan Marii seharusnya melupakan penganjuran Pameran Motor dan Car Of The Year (COTY) (pada bulan Disember 2019) malah memberi fokus kepada usaha untuk membangunkan semula industri automotif yang semakin mundur dan mula mencari peluang untuk bekerja dengan rakan kongsi global dalam industri kenderaan elektrik, seperti pembuatan bateri dan penyedia teknologi untuk memulakan kilang dan kemudahan Penyelidikan Automotif di Malaysia bagi meningkatkan lagi pasaran automotif negara.

Bagaimana Thailand dan Indonesia untung

Inilah sebab mengapa pengilang bateri EV membuka kilang-kilang di Indonesia dan Thailand sejak dua bulan yang lalu.

Inilah sebabnya mengapa Hyundai baru sahaja mengumumkan kilang pemasangan kenderaan Asean baru di Indonesia dan bukan di Malaysia.

Inilah sebab mengapa Motor Image (jenama Subaru yang berpangkalan di Singapura) membuka kilang pemasangan Asean di luar Bangkok bagi memulakan pemasangan SUV Forester yang popular. (hanya Subaru XV dipasang di Malaysia).

Inilah sebabnya mengapa banyak model kereta tidak diperkenalkan di Malaysia dan sebaliknya Thailand, Indonesia dan Vietnam pula yang lebih awal dengan pelancaran baharu daripada kita.

Inilah sebabnya mengapa Mitsubishi Xpander masih menunggu pelancarannya di Malaysia apabila Indonesia, Thailand dan Vietnam telah menyaksikan jualan yang kukuh.

Lihat sahaja Honda Civic yang pelancarannya telah dijadualkan beberapa bulan yang lalu. Kami pandu-uji model itu di Bangkok tiga bulan lalu dan pelancaran Malaysianya ditangguhkan sehingga hari ini.

Honda City Turbo semua baharu yang baru dilancarkan di Thailand dua minggu yang lalu dan tidak ada pengesahan perancangan pelancaran di Malaysia.

Honda Motor mempunyai dua kilang kereta di Thailand yang menghasilkan pelbagai model untuk domestik dan eksport. Sepatutnya Malaysia mempunyai dua kilang Honda.

Dengan persaraan orang penting di MOF (Kementerian Kewangan), keputusan sehingga kini masih tertangguh bagi beberapa jenama kereta yang disebutkan di atas untuk bergerak ke hadapan dan usaha membantu Marii tetap berkurangan.

Ini semua disebabkan mereka sibuk mengejar peserta pameran untuk Motor Show mereka yang akan datang di Lembah Klang.

Tidak lama lagi, pasaran automotif kita bukan sahaja jauh ketinggalan dan keterbelakang dari Thailand dan Indonesia, malah Vietnam juga akan mendahului Malaysia dalam masa beberapa tahun atau lebih cepat daripada yang dijangkakan.

Ingat dan kongsi artikel ini bagi mendedahkan kepada semua masyarakat apa yang sedang berlaku dalam dunia automotif sekarang ini.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada peluang pekerjaan, pelaburan malah jumlah bayaran cukai kenderaan juga akan berkurangan memandangkan tiada penjualan kereta baru.

Artikel ini dikeluarkan DS&F. Sebarang maklumat lanjut, sila layari Facebook dan Instagram DS&F.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.