
Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat, semasa mengekalkan keputusan hakim pilihan raya berkata, perayu, Khairuddin Abu Hassan, gagal membuktikan kesnya.
“Walaupun terdapat beberapa kes ketidakpatuhan undang-undang pilihan raya, hasilnya tidak menjejaskan keputusan pilihan raya,” kata Tengku Maimun, yang mengetuai barisan 5 anggota, semasa membuang rayuan Khairuddin.
Hakim juga mengarahkan Khairuddin membayar kos RM30,000 kepada wakil rakyat BN, Ahmad Hamzah dan RM50,000 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan pegawai pengurus, Zamrud Yahya.
Khairuddin, bekas ketua bahagian Umno, tewas dengan margin 219 undi dalam pertandingan 3 penjuru.
Ahmad mempertahankan kerusi BN itu selepas meraih 26,560 undi berbanding Khairuddin (26,341), dan calon PAS, Abd Alim Shapie (8,860).
Khairuddin memfailkan petisyen berdasarkan dakwaan percanggahan dalam Borang 14, di mana beberapa dokumen tidak mempunyai tandatangan pegawai pengurus dan lain-lain mempunyai tandatangan ejen calon.
Pada 12 Jun, Hakim Abu Bakar Jais berkata Khairuddin gagal membuktikan percanggahan itu memberi kesan pada keputusan pilihan raya.
Khairuddin juga diarah membayar RM400,000 sebagai kos kepada Ahmad, SPR dan pegawai pengurus, penalti yang dikatakan paling tinggi pernah dikenakan ke atas pempetisyen.
Seramai 19 saksi memberi keterangan pada perbicaraan 23 hari itu.
Sementara itu, Khairuddin berkata dia menerima keputusan itu dan akan terus berkhidmat sebagai penyelaras Pakatan Harapan di Jasin.
“Kita mesti jaga kebajikan rakyat,” katanya kepada pemberita.