Tubuh kelab baru untuk Najib kembali berkuasa tak baik buat Umno, kata penganalisis

Tubuh kelab baru untuk Najib kembali berkuasa tak baik buat Umno, kata penganalisis

Awang Azman Pawi menjangkakan bekas perdana menteri itu akan menjadi presiden kelab baru itu yang ditubuhkan untuk ketua bahagian Umno dan akan menjadi senjata bagi menentukan calon pilihan raya.

Azmi Hassan berkata, kedudukan Najib Razak sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN cukup untuk beliau yang terbukti berkesan seperti yang ditunjukkan dalam kemenangan BN di PRK Tanjung Piai pada 16 Nov lalu.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik meramalkan bekas perdana menteri, Najib Razak sedang berusaha memperkukuhkan kedudukannya dalam Umno dengan penubuhan sebuah kelab untuk ketua bahagian parti itu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya menjangkakan ahli Parlimen Pekan itu akan menjadi presiden kelab itu yang merupakan inisiatifnya sendiri.

“Agenda di sebaliknya ialah menjadikan ia sebagai senjata untuk menentukan calon pilihan raya yang dipilih kelab itu,” katanya kepada FMT.

Beliau turut memuji speaker Perhimpunan Agung Umno minggu lalu kerana kualiti perbahasan dilihat bertambah baik.

Katanya, perwakilan kini sedar keperluan untuk memperbaiki parti selepas ia hilang tampuk pemerintahan negara pada pilihan raya umum tahun lalu.

Tetapi, beliau berkata, langkah menubuhkan kelab itu akan menjadikan Perhimpunan Agung Umno itu kurang penting kerana ia akan menjejaskan parti.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia yang senada dengan Azman, berkata sebarang petanda Najib membuat kemunculan semula dalam Umno akan merosakkan parti dan Muafakat Nasional dengan PAS.

Katanya, ketua bahagian mempunyai kedudukan penting dalam hierarki Umno dan sesiapa yang mengetuai sokongan untuk kelab sedemikian boleh menggunakannya sebagai alat berkuasa.

Azmi berkata, kelab itu sama dengan “deep state” atau “kerajaan dalam kerajaan”.

“Jika benar tujuan kelab itu ditubuhkan untuk mengangkat Najib, maka ia baik untuk Najib, tetapi tidak baik untuk Umno.

“Walaupun niat sebenar bukan untuk mengangkat Najib, ia tidak baik bagi Umno selagi persepsinya ialah demi manfaatnya.”

Beliau mengakui populariti Najib semakin bertambah di peringkat akar umbi, tetapi Umno tidak memerlukan beliau sebagai pembuat keputusan kerana pucuk pimpinan sedia ada cukup kuat untuk mengetuai usaha parti merampas kembali Putrajaya.

“Masanya sudah berlalu. Beliau boleh membantu Umno dan negara dengan pengalaman luasnya, tetapi bukan melalui saluran rasmi, seperti mempunyai kuasa dalam Umno.”

Katanya, kedudukan Najib sekarang sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional cukup untuk bekas presiden Umno itu kerana beliau terbukti berkesan dengan peranan itu seperti yang ditunjukkan dalam kemenangan di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.