Hakim perlu tegas agar bekas suami tak culas bayar nafkah, kata peguam

Hakim perlu tegas agar bekas suami tak culas bayar nafkah, kata peguam

Musa Awang berkata langkah itu paling berkesan untuk memastikan golongan yang culas ini menunaikan tanggungjawab mereka.

Kerajaan menubuhkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah untuk menyita harta bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri.
PETALING JAYA:
Hakim mahkamah syariah perlu tegas dalam membuat keputusan berkait kes bekas suami culas membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak mereka, kata peguam syarie.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata langkah itu paling berkesan untuk memastikan golongan yang culas ini menunaikan tanggungjawab mereka.

“Isu suami culas bayar nafkah ini bukan soal proses mahkamah tapi ketegasan hakim mahkamah syariah itu. Hakim lebih banyak berhati-hati menjatuhkan hukuman tegas.

“Buatlah mahkamah apa pun, letaklah nama apa pun kalau hakim tidak tegas beri amaran, tidak selesai juga masalah,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah yang akan diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri.

Pada September lalu, kerajaan mengadakan rundingan dengan Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan perintah mahkamah khas tersebut dapat dikuatkuasakan dengan sempurna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata, demi kepentingan mahkamah khas ini juga, pihaknya sudah menghantar rombongan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ke Australia bagi membolehkan mereka mengkaji dan bertukar pandangan dengan Mahkamah Keluarga di sana.

Musa bagaimanapun berkata, Mahkamah Rendah Syariah (Nafkah) telah beroperasi September lalu, sementara mahkamah bagi perkahwinan dan hadanah masih belum berjalan.

Mengulas mengenai ketegasan hakim, Musa berkata ia boleh ditunjukkan dengan menetapkan tempoh pembayaran balik tunggakan yang lebih singkat.

“Kalau hakim yang tegas, beliau perintah defendan selesaikan tunggakan itu sekaligus dalam masa 3 jam atau 3 hari misalnya. Tak bayar, masuk penjara. Kalau hakim tegas begitu, defendan ini kadang-kadang boleh cari duit, pinjamlah mana-mana.

“Ada sesetengah hakim beri sampai bayar secara ansuran contohnya tunggakan RM20,000 boleh bayar RM500 sebulan. Jadi bayangkan berapa lama nak selesai?

“Berdasarkan pengalaman saya, biasanya kes-kes begini apabila sebut penjara, bapa ini akan cari duit walau di mana pun. Takut sebab penjara ini akan beri kesan kepada banyak perkara, profil, kerja, rekod serta keluarga baru jika ada,” katanya.

Beliau menambah, hukuman penjara memang bukan langkah terbaik dan dibimbangi akan mengganggu proses pemberian nafkah tersebut.

“Hakim lebih beri peluang kepada si suami atau bapa. Sekiranya libatkan nafkah anak-anak ini, biasanya hakim tidak pilih hukuman pemenjaraan.

“Penjara itu paling akhir sekali jika sudah tiada pilihan sebab hakim melihat apabila bapa dipenjarakan, ia akan memberi kesan kepada seluruh nafkah anak itu,” katanya.

Beliau menasihatkan mana-mana pihak yang terbabit agar mematuhi perintah mahkamah dalam pembayaran nafkah bagi mengelakkan tunggakan dan menyeru mana-mana wanita segera membuat permohonan mahkamah bagi menuntut si bapa culas agar menunaikan tanggungjawab mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.