Sitaan kewangan ‘menanti’ bekas suami culas bayar nafkah

Sitaan kewangan ‘menanti’ bekas suami culas bayar nafkah

Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah berbincang dengan BNM bagi membolehkan pelaksanaannya menerusi perintah Mahkamah Syariah.

MOHD NA'IM MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan juga giat perkukuh tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah melalui pelbagai kaedah undang-undang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Langkah menyita simpanan kewangan bekas suami culas membayar nafkah sedang diusahakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sudah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan langkah itu menerusi perintah Mahkamah Syariah.

“Jadi, yang ini akan dibuat oleh pihak BSK dan perbincangan itu telah dibuat dengan Bank Negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin tahu apakah mekanisme pemantauan yang diwujudkan kerajaan melalui BSK bersama BNM bagi memastikan pelaksanaan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang culas menunaikan nafkah.

Na’im berkata, kerajaan juga giat memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah melalui pelbagai kaedah undang-undang.

Selain itu, beliau berkata BSK juga sedang melaksanakan usaha memberi kesedaran kepada penanggung nafkah anak-anak dalam kalangan waris, selain suami atau bapa sebagaimana ditetapkan undang-undang dan hukum syarak bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan juga diperkukuh melalui kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengesan majikan serta alamat terkini penghutang penghakiman.

“Melalui pendekatan pelbagai seperti pendahuluan nafkah, bantuan tanpa kutipan balik, kemudahan transit serta penguatkuasaan tegas terhadap penghutang bagi memastikan kebajikan pemiutang penghakiman dapat dipelihara.

“Langkah jangka panjang ini bukan sahaja menjamin kesinambungan perkhidmatan BSK, malah memperkukuh sistem kehakiman syariah demi menjaga hak wanita, anak-anak dan kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.