
Ini menyusul sehari selepas Muhammed Yusoff Rawther menyerahkan akuan berkanunnya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Jurucakap polis ketika dihubungi enggan mengesahkan jika dakwaan Rawther kini disiasat Bukit Aman.
Yusoff juga enggan mengulas mengenai perkara itu.
Tetapi, seorang sumber berpangkat tinggi memberitahu FMT, sebarang pembabitan Bukit Aman bermakna polis menganggap kes itu “sangat serius”.
“Ada kemungkinan, tetapi tidak semestinya membabitkan D5 Bukit Aman, yang bermakna polis tidak menganggapnya kes mengarut,” kata sumber itu.
D5 ialah Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Bukit Aman.
Yusoff, 26, ialah pembantu penyelidik di pejabat Anwar di Petaling Jaya sehingga awal tahun ini, apabila beliau mendakwa diserang setiausaha politik ahli Parlimen Port Dickson itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Farhash bagaimanapun menafikan dakwaan itu, tetapi Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Farhash.
Rabu lalu, Yusoff dalam satu sidang media yang disiarkan di Facebook Live mendakwa seorang ahli politik kanan melakukan jenayah terhadapnya yang disifatkan “tidak Islamik, perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, serta tidak bermoral”.
Satu akuan berkanun menjelaskan kejadian yang didakwa berlaku di rumah Anwar di Bukit Segambut kemudiannya tersebar di media sosial.
Anwar menolak dakwaan dalam akuan berkanun itu dengan berkata, ia adalah cubaan untuk mencemarkan reputasinya dan beliau sudah membuat laporan polis mengenainya.
Peguamnya Ramkarpal Singh turut mengeluarkan notis undang-undang 7 hari kepada Yusoff menuntut beliau menarik balik dakwaan itu.
Dalam laporan polisnya semalam, Yusoff berkata, beliau diugut pihak tertentu selepas mengadakan sidang media pada Rabu lalu.