
Skuad bimbingannya yang dibarisi pemain muda terbaik negara mempamerkan prestasi hambar, sekadar mengumpul 4 mata daripada 4 perlawanan, malah diaibkan Kemboja 1-3 sekaligus gagal mara ke separuh akhir.
Kegagalan itu menyaksikan pelbagai kritikan dilempar terhadap prestasi barisan pemainnya, selain turut mempertikaikan penggunaan formasi 3-4-3 dalam pasukan kendaliannya.
Jurulatih yang membawa Malaysia merangkul emas pada Sukan SEA 2011 di Jakarta itu, mendakwa tindakan sesetengah pihak sebagai meraih publisiti.
“Tiada masalah dari segi formasi kita, hanya segelintir ‘so called’ pembaca dan pemberita sukan yang mempertikaikan, di mana saya percaya mereka ini banyak bercakap serta inginkan publisiti,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, malam tadi.
Skuad kebangsaan di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe menerapkan formasi 4-3-3 yang juga formasi asas DNA bola sepak Malaysia dipanggil “Cara Malaysia” yang dilancarkan Julai lepas.
Harimau Malaya mempamerkan prestasi cemerlang menerusi corak formasi itu, namun formasi 3-4-3 digunakan Kim Swee turut berjaya menghasilkan permainan berkualiti serta melakar kemenangan membanggakan, termasuk menundukkan Korea Selatan 2-1 di Sukan Asia 2018.
“Ketika kita menang dalam kejohanan lepas dengan sistem sama, ia tak dipertikaikan. Jadi, ini semua hanya nak menimbulkan beberapa isu apabila pasukan tewas dan ia kebiasaan yang akan berlaku.
“Bagi saya tiada masalah dengan formasi sama ada 3-4-3 atau 4-3-3 atau apa jua formasi,” kata Kim Swee.
Sukan SEA 2019 di Filipina adalah tugas terakhirnya bersama skuad B-22 negara, selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam memutuskan tidak melanjutkan kontraknya yang berakhir hujung tahun ini.
“Untuk 10 tahun atau 5 kali edisi Sukan SEA, banyak pengalaman saya lalui di mana ini pendedahan, pengalaman cukup baik. Manis…pahit yang dapat saya pelajari.”