Kecoh di Kongres Pemuda PKR, penyokong bekas pengerusi tetap dilarang masuk

Kecoh di Kongres Pemuda PKR, penyokong bekas pengerusi tetap dilarang masuk

Mizan Adli Mohd Nor yang dipecat secara kontroversi sebagai pengerusi tetap Pemuda PKR bulan lalu, mendakwa beliau diserang dan ditolak.

Bekas pengerusi tetap Pemuda PKR, Mizan Adli Mohd Nor bercakap dalam sidang media di MiTC.
AYER KEROH:
Kekecohan tercetus selepas penyokong Mizan Adli Mohd Nor yang dipecat secara kontroversi daripada jawatan pengerusi tetap sayap itu, cuba memasuki dewan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) untuk menghadiri Kongres Nasional Pemuda PKR hari ini.

Mizan berkata, beliau dan rakannya dilarang memasuki dewan.

Beliau turut mendakwa diserang dan ditolak selepas berjaya masuk ke dalam dewan.

Beliau mendakwa Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir gagal mematuhi arahan Presiden, Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali yang meminta kongres itu diadakan secara aman.

“Saya sudah menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Kongres itu diteruskan tanpa saya.

“Apabila saya masuk, saya ditolak dan dipukul. Mana keadilannya?” soalnya dalam sidang media.

Terdahulu, Mizan berkata, JPPM mengakui pengerusi tetap yang baru hanya boleh dilantik setiap 3 tahun.

Katanya, beliau sepatutnya hadir ketika Pemuda PKR mahu memilih penggantinya.

Beliau mendakwa ramai pemerhati dalam dewan, termasuk pelajar yang tidak mempunyai tag kemasukan sedangkan kira-kira 200 perwakilan yang mempunyai tag dilarang masuk.

“Kami dilayan seperti binatang. Jangan (buat ini) sehingga tahap mendapat perhatian JPPM dan menjejaskan parti kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.