
Beliau berkata nama “kartel” juga tidak elok didengar, selain tidak perlu adanya kumpulan-kumpulan dalam PKR.
“Dalam organisasi kita perlu bersatu padu dan tidak perlu ada kumpulan A, B, Invoke, atau kartel.
“Nama kartel itu orang dengar di luar tidak sihat sebab macam orang jual dadah. Tukarlah nama yang nampak berdakwah. Macam tabligh,” katanya ketika berucap ketika membahaskan ucapan dasar dan usul pada Kongres Nasional Tahunan Pemuda PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) di sini.
Istilah “kartel” sering digunakan bagi merujuk kepada kumpulan penyokong timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan dianggap berlawanan dengan kumpulan yang dikatakan menyokong presiden parti itu, Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, perwakilan Negeri Sembilan, Sugumaran Subramaniyam mencadangkan supaya hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nsional (PTPTN) dihapuskan sebanyak 50% pada peringkat permulaan ini.

Beliau berkata, bakinya boleh dihapuskan sebelum hujung penggal pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi mendapatkan mandat lebih besar daripada rakyat, khususnya golongan muda.
“Saya juga mencadangkan supaya gaji minimum diluaskan ke semua tempat tanpa memberi tumpuan kepada kawasan bandar,” katanya.
Terdahulu kongres Pemuda PKR kecoh apabila bekas pengerusi tetap sayap itu Mizan Adli Mohd Nor dan penyokongnya cuba merempuh masuk ke dewan persidangan selepas tidak dibenarkan berbuat demikian.
Dalam satu kenyataan selepas kejadian, pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, Mizan tidak perlu berada di situ kerana beliau bukan lagi perwakilan Pemuda kerana berumur lebih 35 tahun.
Pada 27 Nov Mizan dan timbalan beliau Mohd Ramly Ahmad dipecat daripada jawatan masing-masing kerana pemilihan mereka dikatakan diragui, selain faktor kelayakan umur.