
Timbalan ketua Bahagian Permatang Pauh itu berkata, beliau menerima surat itu petang semalam dan difahamkan beberapa lagi pimpinan Pemuda PKR turut menerima surat sama, namun beliau tidak tahu siapa orangnya.
“Saya tidak pasti siapa yang dapat surat, saya pun tidak boleh nak cakap…pada saya, yang dapat surat ini semua adalah anggota PKR. Saya sedang berhubung dengan rakan-rakan yang lain untuk mengenal pasti berapa ramai yang menerima surat ini.
“Saya perlu berbincang dengan rakan-rakan lain untuk melihat pertuduhan yang dikenakan Lembaga Disiplin terhadap saya dan rakan-rakan kerana kami diberi 14 hari untuk menjawab surat berkenaan,” katanya selepas majlis pelancaran jersi baru pasukan bola sepak Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow malam tadi.
Dalam notis tunjuk sebab PKR bertarikh 20 Feb yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Displin PKR, Ahmad Kasim itu, Afif didakwa melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres Nasional Pemuda 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 6 Dis tahun lalu dengan tujuan membatalkan kongres tersebut.
Afif yang juga pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang, berkata ini adalah kali pertama perkara itu dibangkitkan dan sebelum ini tiada sebarang komunikasi mengatakan beliau melakukan sebarang kesalahan sejak kongres itu sehingga hari ini.
Katanya, beliau tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan parti dan kehadirannya ke kongres itu hanya sebagai pemerhati yang diberikan pelepasan oleh sekretariat parti.
“Jadi, saya diberi tuduhan oleh Lembaga Disiplin, saya pun tidak tahu apakah motifnya dan siapakah yang melakukan aduan…saya tidak tahu dan soalan ini harus ditujukan kepada parti dan Lembaga Disiplin parti.”