
Khairul Nizam berkata, pucuk pimpinan sering kali menggambarkan Pemuda Umno sebagai benteng pertahanan negara dan ditugaskan sebagai jentera parti, namun anggota sayap itu terus dipinggirkan sebagai calon.
“Sampai sekarang saya lihat, dulu dan kini hanya bercakap soal Pemuda sebagai benteng negara, pasang bendera, tetapi soal hendak calonkan Pemuda masih kurang.
“Kita minta ruang untuk perjuangkan hak orang muda dalam dewan, kadang-kadang pemimpin di atas minta kita berjiwa besar, tetapi mereka tidak lepaskan juga (jawatan dan kedudukan).
“Kita bila pula? Patah tumbuh hilang berganti, tetapi takkanlah tidak tumbuh langsung. Benih kena semai dari sekarang,” katanya sewaktu sesi perbahasan Pemuda Umno di Perhimpunan Agung Umno 2019 di PWTC, hari ini.
Menurut Khairul Nizam, calon muda amat diperlukan sebagai daya penarik sewaktu pilihan raya umum memandangkan Putrajaya sudah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.
“Saya harap pucuk pimpinan kalau hendak tentukan calon, ambillah yang berjuang, tengok peringkat umur. Kalau yang tua-tua, fikir-fikirlah, berilah orang muda tunas baru.
“Kalau minta undur, kita tidak minta undur terus, tetapi kita hanya minta undur setapak supaya seimbang,” katanya.
Pada 25 Julai, rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan berhubung had umur mengundi diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas ia diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat.
Dengan pindaan terhadap perlembagaan persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon, berbanding usia 21 tahun sebelum ini.