
“Kita dah hidup bersama sejak sekian lama sebagai masyarakat bersatu padu dan ini (abu suci) bukan baru, kita dah selalu lihat penganut Hindu menggunakannya.
“Untuk masyarakat Hindu, ia adalah abu suci. Tindakan mengaitkannya dengan abu individu yang sudah mati adalah penghinaan yang tidak sepatutnya disebut.
“Kalau dia sudah tarik balik tidak mengapalah. Kita biarkan atas semangat perpaduan. Kadang-kadang mereka kata sesuatu kerana teruja, terutama dalam Parlimen apabila seluruh negara memerhati,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Tajuddin digantung 2 hari daripada sidang Dewan Rakyat selepas mempersoalkan jika abu suci (vibhuti) di dahi RSN Rayer (PH-Jelutong) ada kaitan dengan abu mayat Chin Peng.
Rayer menuntut Tajuddin memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang disifatkan penghinaan terhadap penganut Hindu.
Tajuddin menarik balik kenyataannya selepas diasak beberapa ahli Parlimen beragama Hindu.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak berlapang dada dan menerima permohonan maaf Tajuddin dengan hati terbuka.
Beliau turut mengingatkan semua ahli Parlimen BN tidak membuat kenyataan sensitif terhadap mana-mana agama di Dewan Rakyat
“Saya prihatin terhadap sebarang isu sensitif melibatkan agama. Saya tahu itu pandangan beliau sendiri, harus diingati beliau dah tarik kenyataan itu.
“Saya harap isu ini selesai dan saya harap ketua pembangkang, terutama BN jangan main lagi isu sensitif agama dan hormat semua agama,” katanya di lobi Parlimen.