
Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK) mahu Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah dilaksanakan segera memandangkan ramai wanita dan anak-anak teraniaya ekoran sikap bekas suami yang sengaja tidak mahu membayar nafkah.
“Mereka perlu diajar dengan hukum agama menerusi pelaksanaan undang-undang baru ini,” kata Presiden Syed Mohammad Faiz Azemmant dalam kenyataan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mengumumkan mahkamah khas itu, bagi mempercepatkan penyelesaian masalah perceraian dan mengurangkan kes isteri digantung tidak bertali, dijangka beroperasi pada Mei.
Kertas Kabinet, yang ketika itu di peringkat akhir penilaian dengan input daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kewangan dan Pejabat Peguam Negara, juga dijadual dibentang pada April.

MPMMK percaya sitaan harta boleh memberi pengajaran kepada bekas suami yang degil.
“Ketika ini, begitu ramai golongan wanita teraniaya disebabkan tindakan bekas suami yang sengaja tidak membayar nafkah, apa yang menyedihkan perbuatan itu turut memberi kesan kepada anak-anak yang menjadi mangsa penceraian ibu bapa mereka,” katanya.
Faiz menambah hak seorang bekas isteri, walaupun wanita itu sudah bekerja atau dalam kalangan orang senang, adalah jelas dan tidak boleh dinafikan.
“Tiada alasan untuk bekas suami tidak membayar nafkah kecualilah jika bekas suami itu sakit kronik, lumpuh ataupun hilang upaya kekal.”