Aset Jamal lebih RM66,000 disita, kata peguam Teresa

Aset Jamal lebih RM66,000 disita, kata peguam Teresa

Ia susulan writ penyitaan dan penjualan harta alih diperoleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok selaku pemiutang penghakiman terhadap ketua Umno Sungai Besar.

kes sita Jamal Yunos
Bailif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melaksanakan writ penyitaan dan penjualan harta alih di rumah Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos di Ampang Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Tindakan menyita harta bagi mendapatkan baki tertunggak RM66,061.85 dibuat di rumah Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos, di Ampang Jaya, hari ini.

Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan penghutang penghakiman.

Peguam Sankara Nair dalam kenyataan berkata, bayaran itu membabitkan kos guaman belum dilangsaikan Jamal dalam kes saman fitnah yang mendakwa Kok menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

“Penguatkuasaan dibuat bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak itu kerana Jamal gagal mematuhi sepenuhnya penghakiman akhir yang diperoleh Teresa dalam saman berkenaan selaku plaintif.

“Mahkamah sebelum ini menganugerahkan ganti rugi RM300,000 kepada plaintif selepas berjaya membuktikan dakwaan fitnah,” katanya menurut Sinar Harian sambil menambah Jamal sudah membayar RM300,000.

Beliau berkata, bailif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melaksanakan writ penyitaan dan penjualan itu, diberi kuasa memasuki premis secara paksa dan menggunakan kekerasan munasabah jika akses ke premis dinafikan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

Menurutnya, peguam Maniggandan Gopalan akan memantau pelaksanaan itu dibuat mengikut perintah mahkamah dan tatacara undang-undang betul.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada pemimpin DAP itu.

Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi itu dan kos RM50,000.

Kok memfailkan saman itu pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung dana Yawas dalam sidang media 8 Mac tahun sama, yang disebarkan menerusi media cetak dan elektronik, termasuk laman Facebook Jamal.

Katanya, kenyataan Jamal itu memberikan gambaran beliau tidak beretika dan menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.