
Setiausaha Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata bahagian berkenaan bukan sahaja gagal patuhi tarikh yang ditetapkan, tetapi juga tidak berusaha untuk perbetulkan keadaan mengikut saluran.
Setiap bahagian perlu memilih 9 nama untuk ke kongres, dan nama-nama itu perlu dinyatakan dalam laporan mesyuarat agung bahagian dan kemudian diserahkan kepadanya “selewat-lewatnya 7 hari selepas mesyuarat berlangsung”, katanya dalam kenyataan.
Tujuh bahagian terbabit – Rantau Panjang (Kelantan), Kuala Selangor, Sepang, Kuala Krai, Kelana Jaya, Bentong dan Jeli – gagal menyerahkan laporan itu menjelang tarikh akhir walaupun selepas tempoh ihsan diberikan iaitu selewat-lewatnya 29 Okt.
“Laporan Pemuda PRK Rantau Panjang diterima 22 November, Kuala Selangor dan Sepang diterima pada 25 November, Kuala Krai dan Kelana Jaya diterima pada 26 November, Bentong diterima pada 27 November, manakala tidak ada penerimaan laporan direkodkan daripada Jeli,” katanya kepada FMT.
Ahmad menambah notis diedarkan kepada semua PKR negeri dan bahagian pada 11 Nov lalu meminta mereka menyemak dan mengesahkan nama-nama perwakilan yang dipaparkan pada laman kongresamk2019.
“Notis itu juga menyebut dengan jelas bahawa Pemuda PKR Cabang dan Negeri perlu mengesahkan senarai Perwakilan ini selewat-lewatnya pada 16 Nov lalu,” katanya.
Terdahulu, ketua Pemuda dari 7 bahagian terbabit membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), meminta ia menggunakan kuasa bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan untuk ambil tindakan terhadap kepimpinan.
Mereka menuduh kepimpinan Pemuda cuba menyekat suara perwakilan.
Ahmad bagaimanapun menjelaskan nama-nama yang dipilih bahagian ke kongres tahun ini dipilih menerusi mesyuarat agung tahunan bahagian yang berlangsung bermula 2 Ogos sehingga 13 Okt.
“Selepas 29 Ok 2019, saya telah mengeluarkan senarai penuh perwakilan yang dipaparkan melalui laman kongresamk2019,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda, Muhammad Hilman Idham menyifatkan 60 Pemuda daripada 7 bahagian terbabit yang “dinafikan hak” untuk menghadiri kongres itu sebagai “amat malang”.
“Sebagai sebuah parti politik, amat malang apabila kita menganjurkan kongres atas nama demokrasi, tapi kita menafikan suara dan hak perwakilan demi kepentingan politik,” katanya kepada FMT.
Kongres Pemuda PKR kali ini mencetus kontroversi apabila perasmi asal yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dibatalkan pada saat akhir dan digantikan dengan penasihat parti, Wan Azizah Wan Ismail.
Keadaan semakin panas apabila kedua-dua kem presiden dan timbalannya berbalas kenyataan malah dipercayai pada hujung minggu ini akan berlangsung pertemuan sebahagian ahli PKR di Kuala Lumpur meskipun kongres nasional parti dijadualkan di Melaka.