
Lebih manis, skuad negara berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang temasya dwitahunan itu.
Bertempat di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, di sini, perlawanan berlangsung sengit dan penuh mendebarkan seperti jangkaan, sejurus wisel permulaan ditiup.
Dalam aksi kejar-mengejar mata itu, skuad bimbingan Tracey Robinson agak “goyah” pada suku pertama apabila ketinggalan 12-13.
Percaturan Robinson pada suku kedua lebih berhasil, selepas anak didiknya mempamerkan aksi lebih kemas, namun belum cukup untuk memintas Singapura apabila kedua-dua pasukan terikat 21-21 menuju waktu rehat.
Strategi Robinson membuat beberapa pertukaran strategi, termasuk menukarkan posisi pemain senior, An Najwa Azizan daripada Goal Attack (GA) kepada Goal Shooter (GS), membuahkan hasil untuk skuad negara melebarkan jurang 40-30 pada suku ketiga.
Dominasi itu berterusan pada suku terakhir sehingga menyukarkan kebangkitan Singapura.
Untuk rekod, kejayaan yang diraih hari ini merupakan pingat emas ketiga skuad bola jaring, selepas menang pada edisi 2001 dan 2017, iaitu ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
Singapura yang juga finalis 2 tahun lalu terus kempunan untuk merampas kejuaraan, selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2015.
Pingat gangsa menjadi milik bersama Thailand dan Brunei yang tewas dalam aksi separuh akhir, semalam.