Selepas tawan Asia, Ng kini idam emas Olimpik

Selepas tawan Asia, Ng kini idam emas Olimpik

Ng Eain Yow berazam menghadiahkan emas dalam sukan skuasy akan dipertandingkan kali pertama pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Ng Eain Yow bersama pingat emas dan gangsa dimenanginya pada Sukan Asia di Hangzhou bulan lalu.
PETALING JAYA:
Mula “menghayun” raket skuasy sejak berusia tujuh tahun, Ng Eain Yow memasang impian beraksi di arena Sukan Olimpik, seterusnya menyumbang pingat emas buat negara.

Namun angan-angan itu terpaksa dipendam memandangkan sukan berkenaan tidak dipertandingkan pada temasya berprestij terbabit, yang dianjurkan empat tahun sekali.

Namun kini harapan Ng kembali menyala susulan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) 13 Okt lalu menyenaraikan sukan itu pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Dalam masa lima tahun kami perlu sasarkan pingat emas dan berusaha keras,” kata juara dunia skuasy remaja 2016 itu yang segar dengan kejayaan merangkul emas dalam acara skuasy perseorangan lelaki Sukan Asia di Hangzhou bulan lalu.

Selain Ng yang berusia 25 tahun itu, harapan turut diletakkan pada bahu S Sivasangari yang memenangi pingat emas dalam kategori perseorangan wanita dan berpasukan pada Sukan Asia.

Menyasarkan menjadi antara 10 pemain terbaik dunia menjelang 2028, Ng turut menaruh harapan pembiayaan daripada pelbagai pihak untuk membantu mereka mencapai misi emas Olimpik.

“Bertanding di Olimpik lebih sukar tetapi dalam beberapa tahun ini sekiranya dapat sokongan dan pembiayaan kami bermain di jelajah profesional…mungkin dapat membantu.

“Kami perlu mendapatkan pengalaman bersaing dengan pemain profesional, (kalau itu ada) saya rasa tak ada masalah untuk kita sasar pingat emas,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia S Maniam berkata, selain Ng dan Sivasangari, prospek emas negara juga diletakkan pada adik beradik Aira dan Aifa Azman, selain Amishen Chandran.

Menurutnya, menjelang Olimpik 2028, kedudukan ranking pemain akan cuba ditingkatkan di mana Ng kini berada dalam lingkungan 20 terbaik dunia manakala Sivasangari dan Aifa pula 30 bagi kategori wanita.

“Mungkin untuk Sukan Olimpik kita akan tambahkan sesi latihan termasuk di luar negara selain mendedahkan mereka di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.