Boling padang sumbang 3 emas

Boling padang sumbang 3 emas

Atlet negara beraksi cemerlang walaupun berdepan masalah permukaan padang tidak rata dan keadaan berhabuk akibat kekurangan rumput di padang.

Atlet boling padang negara meraikan kejayaan memenangi pingat emas dalam kategori Women’s Four, Men’s Triple, Women’s Pair dan gangsa dalam kategori Men’s Pair di CDC Friendship Gate, Manila, hari ini. (Gambar Bernama)
NEW CLARK CITY:
Atlet negara menerima hadiah paling bermakna apabila berjaya meraih 3 daripada 4 pingat emas yang dipertandingkan dalam acara boling padang di Sukan SEA ke-30 hari ini, walaupun berdepan masalah permukaan padang rumput teruk di CDC Lot Friendship Gate, dekat sini, hari ini.

Ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh mengakui pemainnya bergelut mendapatkan rentak permainan di permukaan padang tidak rata dan kekurangan rumput pada pusingan awal, sebelum berjaya meraih kemenangan berharga pada 3 aksi final.

“Kita harap dapat meraih 2 lagi pingat emas pada Khamis ini bagi mencapai sasaran 5 emas yang disasarkan pada Sukan SEA kali ini,” katanya selepas berakhir 4 acara boling padang hari ini.

Zuraidi memuji pemain veteran negara, Siti Zalina Ahmad yang mempamerkan prestasi cemerlang, selain turut membimbing beberapa pemain muda dalam aksi final hari ini.

Berkongsi pandangan sama, Zalina berbangga dengan kejayaan cemerlang hari ini yang merupakan emas ketiganya sejak edisi 1997 di Brunei dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2 tahun lalu.

Pemain berusia 41 tahun yang membuat penampilan kali keenam pada Sukan SEA sejak edisi 1997, menceritakan cabaran beraksi di permukaan padang tidak rata dan keadaan berhabuk akibat kekurangan rumput di padang.

“Memang pihak tuan rumah beri cabaran kepada kita, tetapi sebenarnya sebab keadaan padang kita tidak boleh jangka apa yang akan terjadi kepada bola yang kami baling.

“Pada saya, kemenangan hari ini dibantu semangat berpasukan, selain kita cuba kurangkan kesilapan,” kata anggota paling senior dalam skuad kebangsaan ketika ini.

Trio lelaki negara – Izzat Shameer Dzulkeple, Mohamed Firdaus Abd Jabal dan Mohammad Syamil Syazwan Ramli turut menyifatkan kejayaan hari ini amat bermakna serta mendedikasikan kemenangan itu kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan atlet di pentas antarabangsa.

Pada aksi hari ini, Zalina bersama 3 pemain muda – Afiqah Dayana Budiman, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Syafiqah Haidar Afif Abdul Rahman, menyumbang emas pertama Malaysia selepas menewaskan Filipina 17-6 dalam acara Women’s Four.

Gandingan pemain berpengalaman, Emma Firyana Saroji dan Nurul Alyani Jamil pula menyumbang emas kedua, setelah menewaskan Brunei 21-14 dalam acara Women’s Pair.

Izzat, Fairus dan Syamil mengesahkan pingat ketiga acara boling padang untuk Malaysia, selepas menewaskan tuan rumah dengan 14-8 pada aksi final Men’s Triple.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.