
Ragunath Kesavan berkata, ia merupakan salah satu janji PH kepada rakyat Malaysia dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan gabungan politik itu berjaya menguasai kerajaan 18 bulan lepas.
Beliau berkata, pendakwa raya, ketua polis negara (KPN) dan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu setia kepada jawatan mereka, bukan kepada perdana menteri atau kerajaan beliau.
“Bagaimanapun pegawai terbabit memberikan kesetiaan kepada perdana menteri kerana hanya beliau boleh menentukan siapakah yang akan mengetuai agensi penguatkuasaan utama ini,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, salah laku jelas berlaku pada era pentadbiran Najib Razak apabila bekas perdana menteri itu disiasat berhubung penyaluran wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun bank peribadi beliau.
Ragunath memberi respons terhadap gesaan pengerusi Jawaankuasa Pembaharuan Institusi yang telah dibubarkan KC Vohrah semalam bahawa kerajaan tidak boleh menangguhkan langkah memisahkan kuasa Jabatan Peguam Negara dengan Pejabat Pendakwa Raya bagi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara.
Vohrah, bekas hakim Mahkamah Rayuan berkata, pemisahan kuasa sedemikian akan membolehkan pegawai terbabit menjalankan tugas tanpa dipengaruhi oleh politik.
Ragunath berkata, Kabinet secara kolektif atau Jawatankuasa Pilihan Parlimen hendaklah membuat keputusan berhubung pelantikan pendakwa raya, KPN dan ketua pesuruhjaya SPRM.
Katanya, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu diperhalusi lagi kerana masih terdapat campur tangan oleh perdana menteri dalam pelantikan hakim dan pentadbir kehakiman.
“JAC membenarkan perdana menteri mendapatkan calon tambahan untuk dikemukakan kepada Majlis Raja-raja sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan cadangan asal yang dibuat,” kata beliau.
Dalam pada itu katanya, peguam negara boleh berperanan sebagai penasihat kerajaan seperti diamalkan di banyak negara demokrasi lain.
Bagaimanapun beliau berkata, perlembagaan persektuan perlu dipinda bagi membolehkan pemisahan kuasa itu berjalan.