
Maba berkata, jawatan dan tugas Lua akan diambil alih timbalannya, Tan Kang Yong sementara menunggu siasatan pihak berkuasa selesai.
“Maba amat kecewa dengan insiden ini kerana kontraktor TheWOWSALE Dot Com Trading, pihak bertanggungjawab mengendalikan ‘live streaming’ menghasilkan dan memaparkan bendera Malaysia yang salah pada skrin LED semasa lagu kebangsaan dimainkan.
“Maba sudah menamatkan kontrak TheWOWSALE Dot Com Trading dengan segera pada hari kejadian. Maba akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya berdasarkan keputusan siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Maba memohon maaf atas kesilapan pasukan siaran langsungnya memaparkan Jalur Gemilang berbintang 5 bucu pada skrin digital ketika majlis perasmian Piala Lum Mun Chak Maba/Milo ke-28.
Gambar dan klip video paparan bendera itu tersebar di media sosial dengan sesetengah pengguna internet mendakwa persatuan terbabit rasis dan mempromosikan komunisme.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis sudah mengenal pasti syarikat tempatan yang mengendalikan imej digital pada acara pembukaan kejohanan bola keranjang Piala Lum Mun Chak Maba/Milo ke-28 di Stadium Maba dan beberapa individu daripada syarikat itu akan disoal siasat.
Maba berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan mereka.
“Maba sudah mengambil langkah sepatutnya untuk memperbaiki prosedur persatuan dan meningkatkan kemahiran kakitangan kami demi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini pada masa depan.”
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim mendesak tindakan tegas diambil terhadap pihak yang sengaja mencemarkan maruah Jalur Gemilang.