Mahkamah tolak rayuan Musa Aman cabar lantikan ketua menteri Sabah

Mahkamah tolak rayuan Musa Aman cabar lantikan ketua menteri Sabah

Bekas ketua menteri Sabah itu diperintahkan membayar RM20,000 kepada Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin dan RM50,000 kepada Shafie Apdal.

Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.
KOTA KINABALU:
Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak dengan kos, rayuan bekas ketua menteri, Musa Aman terhadap penolakan samannya dalam mencabar pelantikan Shafie Apdal sebagai ketua menteri Sabah.

Panel 3 hakim terdiri daripada Kamardin Hashim, Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan bantahan awal responden untuk membatalkan rayuan itu.

Kamardin memerintahkan Musa membayar RM20,000 kepada Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin selaku responden pertama dan RM50,000 kepada Shafie yang dinamakan responden kedua.

Musa diwakili Tengku Fuad Tengku Ahmad, Anantham Kasinather dan S Vanugopal, manakala Juhar dan Shafie masing-masing diwakili Peguam Besar Negeri Sabah, Zaleha Rose Pandin serta Douglas Lind.

Ketika membantah rayuan itu, Lind mengemukakan surat ditandatangani Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sabah, Shafaruddin Halide yang menyenaraikan semua Adun Sabah dan gabungan politik mereka dengan majoriti dimiliki Warisan pimpinan Shafie.

Lind berharap mahkamah tidak mendengar rayuan itu kerana ia tidak mempunyai kesan kepada Shafie sekiranya rayuan itu dibenarkan.

Beliau berhujah rayuan itu adalah akademik kerana Shafie mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau memetik Perkara 6 (3) Perlembagaan Sabah menyatakan “ketua negeri Sabah akan melantik seorang Adun yang mempunyai majoriti dalam DUN”.

“Jadi, ketua menteri memerlukan majoriti. Perayu (Musa) tidak akan mencapai angka itu.

“Dia (Musa) tidak mempunyai angka itu, justeru dia tidak akan berkesan.”

Ketika menyokong bantahan awal dan menerima hujah Lind, Zaleha berkata, pelantikan ketua menteri adalah hak prerogratif gabenor Sabah.

Anantham memberitahu mahkamah, kes melibatkan anak guamnya tidak termasuk dalam Perkara 7 (1) Perlembagaan Sabah yang menyatakan keadaan apabila seorang ketua menteri tidak lagi mendapat keyakinan majoriti Adun.

“Ketua menteri harus mengakui sudah hilang kepercayaan majoriti dan meminta pembubaran dewan.”

Merujuk kes menteri besar Perak yang mana Hakim Mahkamah Tinggi, Yew Jen Kie membuat keputusannya dalam saman Musa pada 7 Nov tahun lepas, Anantham berkata, Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui kehilangan keyakinan dalam sidang DUN dan meminta pembubaran, tetapi yang ini bukan kes bagi Musa.

Tengku Fuad berkata, persoalan undang-undang adalah sama ada tingkah laku gabenor negeri mengikut Perlembagaan dan kuasa memutuskan sama ada Musa tidak lagi menjadi ketua menteri harus diserahkan kepada DUN.

Vanugobal berkata, undi hilang keyakinan terhadap Musa tidak pernah berlaku ketika sidang DUN.

Bagaimanapun, undi keyakinan terhadap Shafie sudah dibuat Adun, namun ia tidak sama dengan undi hilang keyakinan terhadap bekas ketua menteri itu.

Tengku Fuad berkata, beliau kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

“Kita akan membawa rayuan ini ke peringkat lebih tinggi secepat mungkin.”

Lind berkata, pihaknya tidak ragu-ragu untuk memang dalam membantah rayuan itu dengan alasan Juhar dan Shafie mempunyai kes yang kuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.