Kerajaan akui sukar keluarga besar guna CRS dalam kenderaan

Kerajaan akui sukar keluarga besar guna CRS dalam kenderaan

Bermula 1 Jan kerajaan mewajibkan penggunaan CRS dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memberi kelonggaran kepada keluarga yang memiliki anak ramai bagi penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, kerajaan akui agak sukar bagi keluarga besar untuk menggunakan CRS dalam satu kenderaan kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

“Berkaitan isu ramai anak dan tempat duduk yang mungkin tidak boleh memuatkan empat ke lima kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Khusus untuk keluarga yang besar saya boleh laporkan bahawa yang melibatkan keluarga besar diberikan pengecualian sekiranya dalam sebuah kenderaan tersebut tidak membolehkan CRS dipasang.

“Jadi kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Kamarudin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH- Rasah) tentang bagaimanakah pelaksanaan CRS memberi kesan ke atas keluarga yang memilik ramai anak.

Katanya sambil memberi contoh beliau juga mengakui sebagai seorang ketua keluarga yang mempunyai anak ramai, walaupun bergelar wakil rakyat, namun tidak mampu untuk memiliki kereta mewah.

“Saya menghadapi masalah ini saya kena akui hakikat saya mohon satu pendekatan, kalau boleh anak-anak yang ketinggian 120 hingga 135 cm diberi kelonggaran.

“Saya setuju bawa 120 cm ke bawah diwajibkan. Bayangkan kalau keluarga itu ada empat anak bawah kategori itu, kereta apa mereka hendak guna? Takkan keluarga semua hendak guna Toyota Alphard, saya sebagai wakil rakyat tiada Alphard, kalau kereta biasa empat orang anak penuh,” katanya.

Kamaruddin berkata, kajian peratus perlaksanaan CRS akan dilakukan secara berperingkat dengan tujuan mendidik anoota masyarakat, bukannya menghukum.

Mengulas lanjut Kamarudin berkata, bagi memastikan hasrat CRS tidak membebankan, pihaknya mendapat pengecualian duti import bagi tujuan itu.

Begitu juga penjualan kerusi keselamatan itu hanya akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekitar lima peratus saja.

“Kerajaan serius untuk menjadikannya sebagai satu kewajiban memandangkan 14 ke 15 peratus kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

Katanya, kerajaan juga bakal menguatkuasakan perlaksanaan penggunaan tali pinggang bagi penumpang bas ekspres.

Bermula 1 Jan kerajaan mewajibkan penggunaan CRS dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.