
Beliau sebaliknya berkata, peruntukan belanjawan mengurus bagi kedua-dua universiti itu menunjukkan peningkatan.
Katanya, UniSZA dijangka menerima peruntukan RM173 juta daripada kerajaan pada tahun depan berbanding RM140 juta tahun ini, manakala UMT pula RM165.5 juta berbanding RM161 juta tahun ini.
“Kementerian akan memastikan penggabungan kedua-dua universiti ini tidak akan merugikan mana-mana pihak terlibat.
“Selain itu, kita akan pastikan tidak timbul isu penggabungan yang menggadaikan kepakaran, visi dan tumpuan semasa akademik universiti,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mengenai penggabungan itu.
Maszlee berkata, penggabungan UMT dan UniSZA ialah lonjakan untuk memperkasa bidang fokus kedua-dua universiti itu, selain meningkatkan kualiti perkhidmatan yang memberi nilai tambah kepada mahasiswa, fakulti serta komuniti setempat.
“Terengganu sendiri secara khusus turut mendapat limpahan manfaat menerusi pemerkasaan hab pendidikan di negeri itu yang bakal menjadi sebuah universiti antarabangsa serta hab ilmu serantau, terutama kepada kawasan Indo-China dan Asean.
“Kementerian juga berpandangan dengan penggabungan ini, kedua-dua universiti akan mempunyai lebih ramai profesor, sekaligus dapat meningkatkan kedudukan di peringkat antarabangsa sebagai sebuah universiti maritim, tetapi mempunyai dasar dan asas kepada keilmuan Islam.”