Wajar utamakan elektrik, air berbanding jambatan Labuan, kata Ahli Parlimen

Wajar utamakan elektrik, air berbanding jambatan Labuan, kata Ahli Parlimen

Bagaimanapun, Suhaili Abdul Rahman berkata, pembinaan jambatan mesti dimulakan sebaik sahaja isu air dan elektrik di Labuan selesai.

Anwar Ibrahim menangguhkan projek jambatan menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah yang dicadangkan, dengan menyatakan ia ‘bukan keutamaan’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman bersetuju dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa jambatan yang dicadangkan dibina untuk menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah bukan suatu keutamaan, walaupun “ia harus dibina” dalam masa terdekat.

Pada 7 Dis, perdana menteri berkata, kerajaan mahu fokus pada menyelesaikan cabaran prasarana asas yang dihadapi rakyat berbanding komitmen pada projek pembangunan berbilion ringgit yang boleh ditangguhkan.

“Beliau (Anwar) menyatakan dengan jelas bahawa kita mesti menyelesaikan isu air dan elektrik dahulu kerana ini menjejaskan kehidupan penduduk setempat,” kata Suhaili.

Beliau berkata, walaupun jambatan itu penting, pembinaannya tidak akan bermakna sekiranya penduduk Labuan tidak dapat menikmati bekalan elektrik dan air yang boleh diharap.

“Cabarannya ialah jika jambatan itu dibiayai kerajaan, (pembinaannya) akan menelan belanja RM4 hingga RM6 bilion.

“Kerajaan tidak mempunyai dana (untuk tujuan itu) buat masa ini,” kata Suhaili.

Menurut Anwar, RM300 juta telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 untuk menangani isu bekalan air Labuan.

Suhaili juga berkata, projek jambatan itu tertangguh sejak sekian lama berikutan perubahan kerajaan yang kerap.

“Kita terima (jambatan) bukan keutamaan, tetapi kita mahu ia dibina,” katanya.

“Sebaik sahaja isu air dan elektrik di Labuan selesai, pembinaan jambatan mesti dimulakan.”

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC) Daniel Doughty memuji Anwar atas komitmennya untuk menyelesaikan cabaran berterusan dihadapi Labuan, khususnya berhubung kekurangan prasarana elektrik dan air di pulau itu.

“Rakyat Labuan optimis bahawa penyelesaian yang ketara sudah hampir, hasil usaha perdana menteri menangani isu-isu penting ini,” katanya.

Daniel bagaimanapun berkata, walaupun LCC mengakui kekangan kewangan disebut oleh Anwar menyekat projek jambatan itu, pembinaannya membawa kelebihan ekonomi.

“Kami cadang agar dipertimbangkan semula perkongsian awam-swasta untuk pembinaan jambatan Labuan atau, sebagai alternatif, penilaian semula penempatan semula terminal feri Roro ke Tanjung Aru di Labuan dan Mempakul, Sabah, disertai dengan pembinaan kemudahan CIQS baharu di kedua-dua lokasi.

“Ini akan meningkatkan ketersambungan dengan ketara dan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua pesisiran itu,” kata Daniel.

Cadangan projek jambatan Labuan itu diumumkan bawah Pelan Pembangunan Labuan (1997-2015) dan ditegaskan semula dalam rancangan pembangunan baharu Perbadanan Labuan bagi 2020.

Sepanjang 26 tahun lepas, ramai menteri wilayah persekutuan mengarahkan projek itu dimulakan, namun ia terhenti tanpa banyak kemajuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.