LTdL berjaya melangkaui jangkaan, kata Dr M

LTdL berjaya melangkaui jangkaan, kata Dr M

LTdL kali ini akan kembali ke Sabah dan Sarawak, selepas kali terakhir ia sampai ke negeri berkenaan pada 1997.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis pelancaran LTdL Petronas hari ini.

KUALA LUMPUR,: Acara perlumbaan berbasikal tertua Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) melangkaui jangkaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam setiap aspek dan berjaya mencatatkan banyak peristiwa bersejarah sepanjang penganjurannya.

Mahathir berkata, penganjuran acara berkenaan selama ini berjaya memenuhi objektif asal pengenalannya, iaitu menampilkan Malaysia dan Langkawi sebagai destinasi pelancongan menarik, di samping menjadi hub sukan yang hebat.

Katanya dengan tahap penganjuran yang setanding dengan lain-lain acara perlumbaan berbasikal di negara Eropah, LTdL berjaya menarik kehadiran ramai pelumba terbaik dan pasukan jelajah dunia serta pro continental.

“Sejak pengenalannya 24 tahun lepas, 232 peringkat LTdL dianjurkan di Malaysia. Hasilnya, bukan hanya Malaysia dan Langkawi berdiri teguh di atas peta dunia sebagai salah satu destinasi yang ‘perlu’ dikunjungi, malah lain-lain daerah dalam negara yang dilalui oleh para pelumba ini turut mendapat manfaatnya.

“Dunia kini melihat panorama kawasan pinggir bandar dan desa di Malaysia, sama seperti tempat-tempat yang perlu dikunjungi di bandar dan kota,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Petronas LTdL di sini, hari ini.

Perdana menteri seterusnya mengumumkan bahawa LTdL akan kembali ke Sabah dan Sarawak, selepas kali terakhir ia sampai ke negeri berkenaan pada 1997.

Katanya, selepas sekian lama, perlumbaan di Sabah dan Sarawak akan menambah lagi “keindahan” dalam perlumbaan itu, apabila ia melalui kawasan yang memiliki lanskap serta penduduk yang unik lagi menarik, di samping membangkitkan suasana “pengembaraan” buat para pelumba.

Mahathir berkata selain menyaksikan juara dunia akan datang muncul dari LTdL, acara ikonik itu menyumbang kepada kelahiran juara bertaraf dunia seperti Anuar Manan, yang menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi satu peringkat, dan memperoleh jersi kuning (Raja Pecut) pada tahun 2010.

“Tahun ini kita juga menyaksikan kehebatan yang sama diulangi oleh Mohd Harrif Salleh, pelumba dari pasukan Terengganu Incorporated Cycling (TSG), pasukan Continental ranking tertinggi Asia.

Beliau juga memuji penganjur kerana memperkenalkan dua perlumbaan tambahan sebagai sebahagian daripada sambutan jubli perak dan usaha pembangunan pertandingan itu, yakni Criterium International dan Malaysia Classic, “2 new 1-Day races” dalam kalendar UCI (Union Cycliste Internationale), yang akan membuat penampilan sulungnya tahun ini.

Mahathir turut menyambut baik kehadiran kembali “Title Sponsor”, iaitu Petronas Bhd, yang bukannya nama asing dalam arena sukan Malaysia.

“Terima kasih seikhlasnya kepada semua penganjur terhadap kemurahan hati mereka dan kita berharap kerjasama yang serupa akan diberikan kepada LTdL pada masa akan datang,” tambahnya.

Perlumbaan acara berbasikal terbesar Asia yang dinaik taraf kepada Professional Series (ProSeries) menampilkan empat tahap perlumbaan itu dijadualkan berlangsung dari 7 sehingga 14 Feb, meliputi jarak 1,095.7km melintasi laluan di Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Kedah.
tags:

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.