
“Saya hanya boleh menjawab melalui apa yang telah diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada masa perbahasan Bajet 2020, di mana lebih kurang dalam RM150 bilion telahpun dilaporkan hilang.
“Daripada jumlah itu, RM1.5 bilion telah dikembalikan, jadi hanya kurang 1% saja daripada RM150 bilion dibawa pulang daripada apa yang telahpun ditetapkan kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai jumlah wang dan aset berkaitan 1MDB yang berjaya dibawa pulang.
Liew berkata, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional ditubuhkan untuk membawa pulang wang dan aset 1MDB dari luar negara.
“Setakat ini, kita telahpun menguruskan NFCC untuk menjadikannya pusat koordinasi semua agensi berkenaan untuk mencari wang disimpan di luar negara.
“Ini satu inisiatif yang telahpun dibuat kerajaan untuk memastikan wang itu dapat dikembalikan kepada negara untuk memanfaatkan rakyat.”
Mei lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas dilaporkan berkata, RM1.335 bilion dana 1MDB yang didakwa diseleweng untuk membeli aset di Amerika Syarikat sudah dikembalikan kepada Malaysia.
Jumlah itu merangkumi penjualan kapal layar mewah Equanimity pada harga AS$126 juta (RM522.6 juta) serta AS$57 juta (RM236.4 juta) daripada Red Granite Pictures dan AS$139 juta (RM576.5 juta) daripada Hotel Parklane di Manhattan yang dipulangkan AS.
Tetapi, katanya, jumlah itu tidak termasuk RM152.3 juta yang dihantar pulang dari Singapura, menjadikan jumlah terkumpul hampir RM1.5 bilion.