
Penyiasat penipuan kewangan berpangkalan di United Kingdom, Richard Templeman, berkata dua ‘pemain’ itu menggunakan wang berkenaan, yang berasal daripada 1MDB, di Las Vegas Sands LLC.
Saksi itu memberi keterangan untuk plaintif, 1MDB dan tiga anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, dan 1MDB Energy (Langat) Ltd.
Plaintif terbabit mengemukakan saman terhadap defendan Riza Aziz dan dua syarikat berkaitannya – Red Granite Pictures Incorporated (RGP) dan Red Granite Capital Ltd (RGC) – kerana penyelewengan dana berjumlah USD248 juta.
Dalam pernyataan saksi, Templeman berkata kajian menunjukkan Las Vegas Sands LLC merupakan syarikat kasino dan resort.
Katanya, pada 20 Jun 2012, sejumlah USD41 juta dipindahkan daripada Red Granite Capital, syarikat dimiliki Riza Aziz, anak tiri Najib Razak, kepada sebuah ‘shell company’, Alsen Chance Holdings.
Daripada jumlah tersebut, Alsen Chance memindahkan USD13 juta kepada Las Vegas Sands LLC, dengan USD11 juta diurus niaga pada 10 Julai 2012 ditandakan untuk ‘No Pemain 3454296’.
Dua hari kemudian, sebanyak USD2 juta lagi dipindahkan, ditandai kepada ‘Tan Kim Loong, No Pemain 4678710’.
“Pada 23 Julai 2012, sekitar USD7.3 juta dan USD 1.3 juta dikredit dalam akaun Alsen Chance daripada Las Vegas Sands LLC. Pembayaran berkenaan ditandai ‘dana terhutang daripada Low Taek Jho’ dan ‘dana terhutang daripada Tan Kim Loong’.
“Ia kelihatan seperti dana itu adalah baki dibayar kepada Las Vegas Sands LLC pada 10 dan 11 Julai 2012, justeru mewakili dana dipindahkan daripada Red Granite Capital kepada Alsen Chance,” katanya.
Katanya, Alsen Chance, sebuah ‘shell company’ diperbadankan British Virgin Islands-milik Tan- digunakan bagi pengubahan dana diselewengkan daripada 1MDB dan SRC International.
Saksi berkata, Alsen Chance merupakan antara 23 syarikat diletakkan dalam pencairan untuk membantu siasatan dan pemulihan aset 1MDB.
Plaintif mendakwa dana digelapkan daripada syarikat melalui dua syarikat terkait Jho Taek Jho, atau Jho Low.
Mereka berkata, wang diseleweng digunakan bagi aktiviti perjudian, membiayai penerbitan filem oleh RGP, dan pembelian hartanah, dan memorabilia filem.
1MDB mendakwa antara 2011 dan 2012, USD10 juta digelapkan dan diremit kepada defendan menerusi Good Star, syarikat dimiliki Low, melalui proses pelbagai lapisan.
1MDB mengumpul USD1 bilion pada 2009, yang mana USD700 juta disalurkan kepada Good Star, yang dipercayai anak syarikat bagi projek usaha sama, 1MDB Petro Saudi Ltd.
Good Star kemudian membayar USD10 juta melalui akaun bank milik RGP, yang mana Riza merupakan penandatangan.
Sejumlah USD283 juta lagi digelapkan pada 2012, apabila 1MDB berurusan dengan Goldman Sachs bagi mengatur dan underait dua bon berasingan berjumlah USD3 juta bagi pemerolehan beberapa aset tenaga tertentu.
Dalam penyataan tuntutan itu mendakwa selepas 1MDB atau anak syarikatnya menerima hasil daripada bon itu, Low menyebabkan sebahagian besar hasil bersih bon digelapkan ke akaun bank Swiss milik entiti bernama Aabar Investment PJS Ltd.
Katanya, Low membuat satu akaun di BSI Bank di Lugano, Switzerland, atas nama Aabar-BVI, sebuah syarikat rekaan, dna mengatur pemindahan penipuan sekitar USD1.367 bilion daripada 1MDB kepada Aabar-BVI.
Sebanyak USD283 juta kemudian diserah kepada defendan antara 18 Jun dan 14 Nov 2012.
1MDB mendakwa Riza mengawal dua syarikat Red Granite, yang menerbitkan filem Hollywood, The Wolf of Wall Street, mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa dana itu telah diseleweng dan digunakan demi manfaat atau sekutu mereka.
Plaintif memohon pengisytiharan defendan bertanggungjawab ke atas akaun diseleweng daripada 1MDB.
Sebagai alternatif, plaintif memohon pembayaran semula dana diseleweng itu berdasarkan pengayaan tidak adil.
Dalam pembelaan, defendan mendakwa mereka mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Saudi atau International Petroleum Investment Company, bagi mengeluarkan beberapa filem di Amerika Syarikat.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung.