Kerajaan runding bawa pulang 7 rakyat Malaysia dari Filipina, kata menteri

Kerajaan runding bawa pulang 7 rakyat Malaysia dari Filipina, kata menteri

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berharap ada hasil positif daripada rundingan itu dalam masa terdekat.

Pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu, termasuk tujuh rakyat Malaysia di perairan selatan Filipina Ahad lalu. (Gambar Facebook Philippine National Police-Maritime Group)
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang berunding untuk membawa pulang tujuh rakyat Malaysia disyaki memasuki perairan Filipina Ahad lalu, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang sudah menerima maklumat daripada Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Victor Sanjos berhubung situasi itu, berharap ada hasil positif daripada rundingan itu dalam masa terdekat.

“Kita juga sudah mengenal pasti agensi pelancongan yang membawa mereka sehingga melepasi sempadan, selain akan menghubungi Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah di Kelantan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh dilaporkan berkata pihak berkuasa Filipina menahan tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China kerana disyaki memasuki perairan negara itu secara haram Ahad lalu.

Philippines News Agency melaporkan Pesuruhjaya Biro Imigresen Filipina, Norman Tansingco sebagai berkata mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di selatan negara itu.

Katanya mereka yang tiada dokumen sah itu didapati memasuki Filipina dengan menaiki dua bot laju.

Difahamkan, kumpulan pelancong itu sedang bercuti di Semporna dan secara tidak sengaja memasuki wilayah Filipina ketika memancing di perairan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.