
Katanya, kegiatan penipuan scammer tidak boleh dipandang ringan.
“Mangsa yang kerugian wang tunai akibat ditipu akan menghadapi tekanan emosi sehingga menjejaskan kualiti hidupnya. Individu terlibat kemudiannya mungkin bertindak meminggirkan diri sebelum mengambil keputusan membunuh diri akibat malu,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Temerloh pada Program Anti Financial Crime Centre bersama IPD Temerloh dan Majlis Perbandaran Temerloh.
Beliau berkata, kejadian seperti itu tidak mustahil boleh berlaku kepada “sesiapa sahaja” tanpa mengira jantina, latar belakang, dan usia.
Dalam pada itu, Ahmad Sazilee memberi peringatan agar masyarakat sentiasa cakna dengan taktik scammer termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru wajah dan suara individu dikenali mangsa.
“Mereka boleh melakukan panggilan video dengan meniru suara dan wajah individu yang dikenali mangsa sehingga percaya untuk membuat penghantaran wang. (Disebabkan itu) masyarakat kena tahu perkembangan semasa bagi mengelak ditipu,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini, empat agensi di bawah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sedang berusaha menambah baik sistem bagi menghalang jenayah siber ini berlaku dan turut menasihati mangsa segera menghubungi NSRC untuk membolehkan wang yang diperdaya itu dibekukan.