
Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, peraturan SPR supaya parti dan calon bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai mendapatkan permit daripada polis untuk melakukan kempen dari rumah ke rumah tidak bersesuaian dengan kehendak demokrasi.
“Mungkin peraturan lebih mudah seperti menghantar notis memberitahu pihak keselamatan, saya kira lebih sesuai.
“Saya berharap polis tidak melaksanakan keperluan permit untuk kempen berbentuk merayu undi, boleh dianggap kurang sesuai dari sudut kebebasan berkempen,” katanya kepada FMT.
Semalam, SPR berkata semua parti dan calon bertanding dalam PRK Tanjung Piai diingatkan, kempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada polis kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata program tinjauan mesra (walkabout) pula yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, beliau tidak menafikan polis mempunyai peruntukan dari sudut undang-undang yang memerlukan calon dan parti politik bertanding mendapatkan permit di bawah Seksyen 24B(3) dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya, namun ia hanyalah untuk ucapan di tempat terbuka.
“Tetapi, perlu permit polis hanya untuk perjumpaan awam, berkempen secara terbuka dan bukannya perjumpaan tertutup atau pergerakan seumpamanya,” katanya.
Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan seseorang calon atau ejen pilihan raya boleh, semasa tempoh berkempen, mengadakan, memanggil atau mengaturkan apa-apa perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka.
Bahkan, boleh memberikan syarahan awam terbuka, sekiranya memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan pegawai polis di mana-mana perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan berkenaan atau ucapan itu hendak diberikan.
Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan meminta pihak berkuasa mempertimbangkan semula keperluan permit polis untuk kempen rumah ke rumah semasa pilihan raya, yang menurutnya perkara menyusahkan.
Bagaimanapun, Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini akur dengan peringatan SPR, mengatakan perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya dan urusetianya sudah menguruskan permohonan permit.