
Dalam ucapan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan, Sultan Abdullah berkata, amalan pemerintahan Rasulullah SAW yang menekankan sifat kasih sayang sesama manusia dan sejagat boleh dijadikan suri tauladan utama dalam membentuk perpaduan rakyat.
Memetik sebuah hadis sahih, Agong berkata, perpaduan akan terbentuk secara semula jadi menerusi rasa kasih sayang serta hormat-menghormati di antara rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
“Orang yang berkasih sayang akan dikasihi oleh Yang Maha Penyayang. Oleh itu, kasihilah semua yang di bumi; maka kamu akan dikasihi oleh Mereka yang di langit.
“Baginda (SAW) juga tidak melupai dan sentiasa menyantuni golongan yang kurang berkemampuan dan lemah. Ini bagi membolehkan mereka agar dapat bangkit meningkatkan potensi diri dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat,” kata Sultan Abdullah pada majlis sambutan itu di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Turut hadir, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan diiringi Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof.
Sultan Abdullah berkata, agama Islam menitikberatkan persaudaraan sejagat dan menuntut pelaksanaan keadilan bagi semua tanpa mengira agama dan bangsa kerana menerusi pendekatan itu, hak individu serta semua masyarakat sentiasa terpelihara.
“Inilah merupakan pengajaran Yang Maha Agung yang dibawa Rasulullah SAW untuk dijadikan tauladan oleh pemimpin dan generasi masa kini,” katanya.
Sulan Abdullah turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan sentiasa mengambil pendekatan untuk menjaga hak rakyat berbilang agama dan bangsa di samping berterusan dalam membantu golongan yang lemah.
Pada masa sama, usaha berterusan hendaklah dilakukan dalam mengawal fahaman radikal dan sebarang bentuk tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara, katanya.
Sultan Abdullah mengajak seluruh rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dan menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kerana kehalusan akhlak baginda dapat memelihara sahsiah diri untuk menjadi bangsa yang disegani.
“Kebijaksanaannya boleh kita jadikan inspirasi untuk memajukan diri, manakala amalan pentadbiran baginda pula boleh kita jadikan panduan ke arah pembentukan sebuah negara rahmah yang bersatu padu,” kata Agong.