Wan Fayhsal dakwa Muhyiddin tak bincang dengan MT PN tolak kerajaan perpaduan

Wan Fayhsal dakwa Muhyiddin tak bincang dengan MT PN tolak kerajaan perpaduan

Ahli Parlimen Machang dakwa keputusan segera dibuat pengerusi PN di hadapan Agong ke-16 selepas dipanggil menghadap di Istana Negara pada 22 Nov 2022.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berpandangan Perikatan Nasional sepatutnya mengambil masa berbincang mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan daripada segera menolaknya.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muhyiddin Yassin tidak berbincang dengan Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) sebelum menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dititahkan Agong terdahulu Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah susulan keputusan PRU15.

Sultan Abdullah bertitah demikian berikutan tiada mana-mana parti politik yang memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

Wan Fayhsal berkata, keputusan itu dibuat segera oleh pengerusi PN tersebut di hadapan Agong ke-16 selepas beberapa ketua parti, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dipanggil menghadap Baginda di Istana Negara pada 22 Nov 2022.

“Tapi atas rasa prinsip, mungkin (beliau) tidak mahu bersama dengan DAP, mungkin kerana kami dah dapat 115 kerusi terlebih dahulu. Jadi semua itu akhirnya membuatkan pendirian Muhyiddin mewakili PN untuk menolak (cadangan kerajaan perpaduan).

“Cuma saya difahamkan oleh beberapa pimpinan kanan daripada PAS dan Bersatu. Tolak-menolak keputusan ini tidak dibincangkan dalam majlis tertinggi. Maksudnya keputusan itu dibuat segera di depan Tuanku,” katanya dalam The Zaid Ibrahim Podcast semalam, menurut Berita Harian.

Pada 22 Nov lalu, Muhyiddin dalam sidang media memaklumkan Sultan Abdullah menitahkan cadangan supaya PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan, selepas menghadap Baginda bersama Presiden PAS Hadi Awang.

Beliau bagaimanapun memaklumkan kepada baginda, PN tidak mahu bekerjasama dengan PH, atas dasar prinsip yang dipegang oleh gabungan itu.

Menurutnya juga, beliau diminta menandatangani satu dokumen berhubung cadangan itu, namun menulis nota menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan penubuhan kerajaan perpaduan antara PN dan PH.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal yang digantung keahlian Bersatu selama satu penggal, mendakwa ia adalah ‘bibit-bibit’ kepada bermulanya isu dalaman antara Bersatu dan PN.

Beliau berpandangan, PN sepatutnya mengambil masa untuk berbincang mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan, daripada segera menolaknya.

Mengenai sama ada Muhyiddin ada peluang menjadi perdana menteri jika menerima cadangan itu, Wan Fayhsal berkata beliau difahamkan mungkin ada penggiliran jawatan tersebut berikutan PH dan PN mempunyai kedudukan kuat.

“Apabila Muhyiddin menolak, Anwar menerima, maksudnya diberi ruang oleh Tuanku untuk memastikan tertubuhnya kerajaan perpaduan.

“Pada asalnya, semua yang sokong Anwar menjadi perdana menteri itu menyokong Muhyiddin, ” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.