
Lee, 73, antara empat penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini berkata, pengiktirafan diraihnya itu adalah melalui penglibatan aktif dan sumbangan beliau dalam aspek memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai betapa pentingnya mengamalkan budaya keselamatan.
“Saya baru-baru ini mewujudkan badan bukan kerajaan (NGO) baru dinamakan Ikatan Komuniti Selamat yang fokus untuk didik semua lapisan masyarakat supaya mereka jadi lebih prihatin tentang aspek keselamatan yang mereka amat perlukan.
“Anugerah ini sebagai suntikan semangat kepada saya untuk terus ke hadapan bersama dengan anggota Ikatan Komuniti Selamat dan NGO lain dan akan berusaha bersama-sama dengan semua agensi dan jabatan kerajaan untuk meneruskan sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah itu pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019 di sini hari ini, yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tiga lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul ialah ahli akademik Asma Ismail, pelopor Hospital Mesra Ibadah Dr Khalid Ibrahim dan aktivis kemanusiaan Mohd Azmi Abdul Hamid. Kesemua mereka masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan.
Sementara itu, pakar perundangan syariah, Daud Muhammad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019.
Lee berkata, melalui NGO baru itu, beliau bertekad untuk menggembleng tenaga dan kepakaran yang ada untuk menyampaikan ilmu pengetahuan berkaitan keselamatan kepada pengusaha institusi tahfiz di negara ini.
Lee sebelum ini pernah menjawat jawatan pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), selain ketika ini menyandang jawatan pengerusi Yayasan EcoWorld dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS); baib pengerusi kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor serta Persatuan Psikiatri Malaysia.
Beliau juga adalah ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental serta pemegang amanah Yayasan Perpaduan Malaysia.